Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,800

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Zakiah Perjelas Faktor Puteri Semporna Kekal Bersama UMNO

11:44am 01/12/2016 Pak Roshan 556 views Mutakhir,Politik

zakiah

KUALA LUMPU – Pembelaan berterusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada masyarakat Semporna menjadi pegangan Puteri UMNO bahagian itu untuk kekal setia kepada parti tatkala pemimpin besar lain memilih keluar parti.

Ketua Puteri Bahagian Semporna Zakiah Kalipunya berkata biarpun bekas Ketua Wanita dan bekas Ketua Pemuda bahagian itu meninggalkan parti namun beliau berikrar kesetiannya kepada presiden Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Jun lepas, Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Jaujan Sambakong, Ketua Pemuda Semporna Mohd Aziz Jamman dan Ketua Wanita Semporna Manis Muka Dara memilih untuk keluar UMNO susulan penggantungan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafei yang juga Naib Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah digantung keahlian kerana melanggar disiplin, bertindak keluar parti pada 4 Julai lepas.

Mengakui keputusan untuk memilih antara individu dan parti adalah sesuatu yang sukar, namun Zakiah berkata, demi memikirkan jasa parti lebih besar untuk masyarakat Semporna, maka hatinya teguh untuk kekal dalam tampuk kepimpinan UMNO.

“Saya kira sesiapa jadi presiden (UMNO) mempunyai cabaran tersendiri dan tugas anggota UMNO ialah mempertahankan kepimpinan dan membantu parti menangkis segala tohmahan serta fitnah yang dilemparkan terhadap parti.

“Kita wanita muda merupakan pewaris dan kalau orang muda goyah bagaimana masa depan kita…apa yang kita cari ada dalam UMNO, jadi kenapa cari parti lain kerana apa yang dilakukan oleh UMNO telah pun dibuktikan,” katanya.

 Zakiah berkata walaupun beberapa pemimpin utama meninggalkan UMNO, beliau yakin parti tidak ketandusan pemimpin kerana masih ramai yang berwibawa untuk menerajui parti itu.

“Saya beritahu kepada anggota Puteri bahawa UMNO yang melahirkan Datuk Shafie sebelum ini dan UMNO jugalah yang akan terus melahirkan lebih ramai pemimpin yang lebih baik daripada beliau (Shafie),” katanya.

Dalam menempuh Pilihan Raya Umum ke-14, (PRU14) beliau mengakui bakal berdepan cabaran sukar berikutan pengaruh Shafie yang dianggap ‘orang besar’ di Semporna, namun beliau tetap yakin mampu menanganinya dengan pengalaman 15 tahun bersama UMNO dan tiga kali menghadapi PRU.

“Gerak kerja kita bukan lagi secara tradisi mengikut pemimpin terdahulu tapi lebih fokus kepada keadaan semasa bagi mendapatkan sokongan rakyat Semporna untuk terus memilih UMNO dan BN,” katanya.

Terdahulu Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam ucapan dasarnya memuji tindakan Zakiah yang tetap setia bersama parti dan menganggap ia contoh terbaik memperkuatkan parti. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan