Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,301

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Zakat Itu Membersihkan. Apakah Hikmah Lain Kepada Pengeluar Dan Penerimanya?

10:02pm 09/01/2017 Zakir Sayang Sabah 21 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Zakat ialah mengeluarkan kadar harta yang tertentu kepada orang yang tertentu dengan syarat-syarat tertentu. Hukumnya adalah fardu ain ke atas tiap-tiap umat Islam yang cukup syaratnya.

Ia memberi hikmah bukan sahaja kepada si pengeluar zakat, malah kepada penerima zakat juga. Bagi yang mengeluarkan zakat, selain mendapat pahala berlipat kali ganda, dirinya akan merasai kesyukuran atas kurniaan Allah kepadanya.

Ini kerana zakat mendidik diri menjadi pemurah, mengambil berat, kasih sayang dan menunaikan amanah kepada yang berhak. Hartanya juga dibersihkan daripada bercampur dengan yang haram.

Bagi yang menerima zakat pula, kesusahan hidupnya dapat dikurangkan. Ini membantu mereka meneruskan hidup dan memperteguh keimanan.

Zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat Fitrah

• Diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam.

• Mempunyai harta lebih daripada keperluan perbelanjaan untuk dirinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Fitri dan malamnya.

• Wajib berzakat setelah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan.

• Ia tidak wajib ke atas orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan, kanak-kanak yang lahir selepas terbenam matahari akhir Ramadan, atau seseorang yang memeluk Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadan, atau lelaki yang bernikah sesudah terbenam matahari terakhir Ramadan.

• Mereka yang berhak menerima zakat adalah fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, orang yang berjuang di jalan Allah, dan musafir.

Zakat Harta

• Terbahagi kepada zakat harta, zakat tanaman dan buah-buahan, zakat harta perniagaan, zakat ternakan.

• Zakat harta – Ia mestilah milikan sempurna, cukup nisab dan masanya setahun. zakat emas dan perak adalah pada kadar iaitu 85gm sebanyak 2 ½ % bagi zakat emas dan 560gm pada 2 ½ % bagi perak. Kadar zakat wang pula berubah-ubah antara sebulan ke sebulan yang lain.

• Zakat tanaman dan buah-buahan – Ia mestilah tanaman yang boleh disimpan lama atau mengenyangkan. Nisabnya ialah 5 awsaq atau 690 kilo atau 300 gantang Baghdad. 10% dikenakan terhadap tanaman yang diairi air hujan atau air sungai. Manakala 5% dikenakan terhadap tanaman yang disirami sendiri atau alat lain yang memerlukan belanja.

• Zakat harta perniagaan – kadarnya adalah 2 ½% cukup setahun. Tidak wajib bagi peniaga yang mengalami kerugian.

• Zakat ternakan – ternakan mestilah milikan sempurna, hidup bebas di padang rumput, tidak cacat juga tidak terlalu tua. 4 ekor haiwan ternakan adalah lembu, kerbau, kambing, dan biri-biri. Kadar zakat ternakan adalah bergantung kepada jenis dan jumlah ternakan.

Zakat membuang sifat pentingkan diri sendiri. Ia adalah satu ibadat yang melihat keadaan sosial di dalam masyarakat. Menerusi zakat, jurang yang memisahkan di antara mereka yang berharta dan mereka yang miskin akan dirapatkan.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Anas)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan