Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Zakaria: Berhati-hati ketika lalui Jalan Labuk

labuk road

SANDAKAN: Orang ramai khususnya pemandu kenderaan termasuk motosikal adalah dinasihatkan supaya memandu dengan penuh berhemah apabila melalui sepanjang Jalan Labuk dekat sini menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba beberapa hari lagi.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris, berkata ini kerana jalan sedang dinaiktaraf untuk lorong dua hala itu masih dalam pembinaan dan pemandu perlu mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, aspek keselamatan ketika melalui jalan berkenaan perlu diambil kira oleh semua pihak kerana kerja-kerja sedang dijalankan yang memungkinkan sedikit kerumitan kepada setiap pemandu kenderaan.

Katanya, sudah pasti ramai yang akan balik kampung termasuk masyarakat luar bandar akan melalui jalan yang bermula daripada kawasan Check Point Batu 32 sehingga ke bawah bakal sibuk dengan kenderaan menjelang kedatangan Aidilfitri nanti.

“Saya berpendapat bahawa keselamatan ketika melalui Jalan Labuk ini perlu diambil kira oleh sebab pembinaan lorong dua hala sedang rancak dijalankan.

“Justeru, saya ingin berpesan kepada semua pemandu agar sentiasa berhati-hati bila memandu dan tidak tergopoh-gapah. Yang penting memandu dengan penuh berhemah, biar lambat asalkan selamat.

 

“Kita doakan keselamatan semua pemandu semoga selamat sampai di destinasi masing-masing pada musim perayaan ini,” jelasnya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) kawasan N.41 Gum-Gum di pejabatnya, Bandar Prima Square, Batu 4, Jalan Utara, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 50 pelajar sekolah yang terdiri daripada 21 murid sekolah menengah dan 29 murid sekolah rendah sekitar DUN Gum-Gum telah menerima sumbangan wang tunai dari pihak KYS.

Mengulas lanjut, Zakaria selaku wakil rakyat Gum-Gum merakamkan ucapan terima kasih kepada KYS kerana sekali lagi berjaya melaksanakan amalan yang dinamakan program tanggungjawab sosial korporat.

Menurutnya, bantuan ikhlas yang dihulurkan ini jelas membuktikan bahawa wujudnya hubungan erat dan mesra di antara agensi kerajaan dan masyarakat sekali gus meringankan beban golongan yang kurang kemampuan.

“Ini juga akan mengurangkan jurang kemiskinan di bandar kerana kita sedia maklum bahawa KYS telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan kemajuan komuniti dalam negeri ini.

“KYS juga banyak menyediakan pelbagai bantuan termasuklah seperti skim bantuan ini dan mereka bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan negeri tetapi mempunyai kewajipan dan tanggungjawab bukan setakat penyampaian ilmu pengetahuan semata-mata, malah boleh berinteraksi dengan masyarakat di peringkat akar umbi seperti yang kita saksikan pada pagi ini,” ujarnya.

Komen


Berita Berkaitan