Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Zahirkan suara hati di peti undi

Meor, Salemy dan Zunani(dari kiri ke kanan) gembira telah menunaikan tanggungjawab kepada negara.

KOTA KINABALU – Seawal 7.00 pagi sudah kelihatan masyarakat sekitar mula berbaris untuk mengundi di Sekolah Rendah Swasta Datuk Simon Fong bagi peti undi P171 Sepanggar dan N12 Karambunai.

Pelbagai ragam dapat dilihat setiap kali menjelangnya Pilihan Raya Umum yang disambut lima tahun sekali ini namun keadaan tetap terkawal dan pengundian berjalan dalam suasana yang harmoni.

Salah seorang pengundi, Tan Jay Jun, 35 kelihatan terkial-kial ketika cuba mencelupkan jarinya ke dalam ink biru kerana tangan yang patah akibat lasak bersukan.

“Agak sakit ketika cuba mencelupkan jari tadi tetapi mujur dapat bantuan daripada bertugas kerana tangan cedera sebulan lalu dan baru sahaja jalani pembedahan tiga minggu lepas.

“Saya cedera ketika bermain sukan Brazillian Jiu-Jitsu (BJJ), apabila seorang rakan terjatuh dan menghempap tangan saya sehingga patah.

“Tetapi saya tetap datang undi mengundi kerana keluarga juga melakukan tanggungjawab yang sama dan esok kami akan kembali semula ke Singapura kerana menetap disana,”jelasnya.

Menurutnya, dengan teknologi yang semakin maju sekarang, tidak sukar baginya dan keluarga untuk sentiasa mengikuti perkembangan politik kerana segalanya mudah diperoleh di media sosial seperti facebook dan twitter.

“Bila saya terima berita kempen undi rosak di luar negara, saya amat kecewa, walau bagaimana berkuasa sesiapa pemimpin pun, kuasa mereka masih berasaskan daripada pangkah di atas kertas-kertas undi kita.

“Peluang untuk mengundi bukan hari-hari, lima tahun hanya sekali, kalau tidak mengundi kali ini, sanggupkah kamu tidak bersuara selama 10 tahun?.

“Sakit tangan boleh pulih tahun ini, harga tiket boleh diperolehi kembali, tapi buang undi dan peluang menukar masa depan kita, itu selama-lamanya,”katanya bersemangat.

Sementara itu, seorang lagi pengundi, Meor Amir Zariman Jabir, 40 yang juga seorang jurugambar di syarikat sendiri perlu beratur selama 40 minit sebelum selesai mengundi.

“Undi adalah hak kita sebagai rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun keatas, pentingnya keluar mengundi sebab masa ini lah kita yang memilih mereka sebagai wakil mengurus negeri dan negara yang tercinta.

“Saya baru empat kali mengundi dan setiap kali saya tidak lepaskan peluang ini, faktor parti atau wakil yang bertanding bukan pilihan seharusnya tidak menjadi masalah untuk tidak keluar mengundi kerana tempoh lima tahun sudah diberi untuk mereka menunaikan janji-janji.

“Saya pasti rakyat Malaysia khususnya penduduk negeri Sabah akan lebih prihatin untuk memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14(PRU14) ini, kepada yang tidak keluar mengundi sesungguhnya amat merugikan kerana kuasa pilihan di tangan kita,”kata Meor.

Dia juga berharap kepada kerajaan baharu untuk memastikan mereka menunaikan janji-janji sebelum pilihan raya.

“Mentadbirlah negara dengan baik supaya kehidupan rakyat lebih terjamin, jangan sampai rakyat sengsara kerana tanpa kami sebagai pengundi, anda bukan siapa-siapa tambahan anda berada di atas sebab pengundi yang memilih,”ujarnya.

Menurutnya juga, semasa demam pilihanraya ini lah kita akan lihat rakan-rakan kita bebas memilih parti mana yang mereka sokong dan tidak seharusnya ada yang memprovok dan mempertikaikan pilihan masing-masing.

“Memilih parti yang berbeza tidak bermakna silaturrahim itu akan putus, apabila sudah habis sudah Pilihan Raya, keadaan akan kembali tenang.

“Tetapi apa pun pilihan kita, dan apa pun keputusan siapa parti yang menjadi kerajaan, tujuan utama seharusnya adalah untuk mentadbir Malaysia ke arah yang lebih baik,”kata Meor.

Dalam pada itu sepasang suami isteri, Salemy Mohd Noor,40 dan Zunani Hamid 38 baru pertama kali mengundi di sini.

“Saya bekerja disini tetapi berasal dari Labuan, isteri pula berasal dari Kedah, pagi ini pukul 8.15 kami sudah sampai ke sini dan ambil masa satu jam sebelum selesai mengundi.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut menggalas tanggungjawab setiap lima tahun sekali, amat rugi kepada sesiapa yang layak tetapi tidak keluar mengundi kerana rakyat mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan.

“Tidak kira siapa parti atau calon yang dipilih terpulang kepada individu, tidak guna kita bercakap panjang lebar pasal politik negara tetapi tidak keluar mengundi untuk tunaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat.

“Yang penting mesti keluar mengundi, walaupun hanya satu undi tetapi ia amat berharga, lagipun hanya lima tahun sekali, tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia kerana ini masa depan negara kita,”tegasnya.

Salemy turut berharapan semoga kerajaan baharu nanti dapat lebih banyak membantu rakyat terutamanya golongan-golongan yang berpendaptan rendah serta berada di luar bandar.

“Selain itu, kerajaan perlu lebih menumpukan perhatian kepada bidang pendidikan dan perubatan, bagi saya, peruntukan untuk kedua-dua bidang ini tidak boleh dikurangkan tetapi perlu di tambah kerana kita mahu lahirkan golongan rakyat yang berpendidikan tinggi.

“Untuk bidang perubatan pula supaya rakyat mendapat perkhidmatan perubatan yang terbaik seperti di negara- negara maju dan dapat mengurangkan penggangguran di kalangan doktor yang baru selesai graduasi,”ujarnya.

Beliau turut teruja dan merasakan bahang PRU kali ini agak luar biasa kerana sambutannya umpama meraikan musim perayaan.

“Banyak perniagaan mengambil kesempatan memberi promosi sempena pilihanraya kali ini, selain untuk melariskan jualan, mereka juga dapat menggalakkan ahli keluarga berkumpul.

“Ada pengundi yang balik dari jauh semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab untuk mengundi, jadi, kalau ada promosi sebegini, apa salahnya bawa keluarga makan di luar apabila sesekali berkumpul kan?,”katanya ceria./Unit MAMS, PENERANGAN.

Suasana pengundian yang tenang di Sekolah Rendah Swasta Datuk Simon Fong.

Komen


Berita Berkaitan