Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,423

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Zahid rasmi pejabat baharu UMNO Semporna

11:05pm 16/04/2017 Pak Roshan 1307 views Mutakhir,Politik

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima borang keahlian UMNO dan memakaikan bendera UMNO kepada seorang bekas ahli PKR pada majlis perasmian bangunan UMNO Semporna yang baharu hari ini. – Foto Abdul Rahemang Taiming

SEMPORNA: Selepas beroperasi tanpa pejabat sejak hampir 10 bulan lalu, UMNO Bahagian Semporna hari ini secara rasmi memiliki pejabat sendiri yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jalan Hospital / Jalan Balai Polis, dekat sini.

Ia berlaku susulan bekas Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keluar parti pada hujung Jun 2016 sebelum bangunan UMNO sedia ada dijadikan pejabat Parti Warisan Sabah (Warisan), iaitu parti pembangkang tempatan baharu diketuainya.

Ahmad Zahid ketika merasmikan pejabat UMNO Bahagian Semporna yang baharu itu, menegaskan kekuatan parti bukan terletak pada individu, seperti juga keutuhan UMNO Semporna tidak bergantung kepada Mohd Shafie yang juga bekas Naib Presiden UMNO.

“Ketua UMNO bukan pada siapa diri kita… siapa Datuk Seri Musa Aman (Ketua Menteri Sabah) dan Zahid Hamidi kalau bukan kerana UMNO. Sebab itu kalau (ada pemimpin) nak pergi, pergilah, tetapi apa yang penting jiwa kita sebagai ahli UMNO tetap kental.

“UMNO ini bukan emak atau bapa kita punya, UMNO ini milik rakyat, jadi bila diberi tanggungjawab, kita harus melaksanakannya… bila diberi jawatan, amanah mesti ditunaikan.

“Janganlah tikam UMNO dari belakang, jangan menjadi gunting dalam lipatan atau seperti padi dalam sekam,” katanya dalam ucapan sambil disambut sorakan bergemuruh kira-kira 1,000 penyokong serta ahli UMNO Semporna.

Yang turut hadir ialah Musa; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban.

Pada majlis itu, kira-kira 500 ahli PKR dan 200 ahli Warisan di Semporna menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO kepada Ahmad Zahid.

Terdahulu, Nasir berkata, UMNO bahagian itu beroperasi tanpa pejabat selepas pejabat sedia ada dikunci, manakala fail dan dokumen penting tiada untuk dijadikan rujukan menyebabkan usaha mengumpul maklumat keahlian terpaksa diperoleh dari ibu pejabat UMNO.

“Perkakasan dan peralatan milik UMNO tidak diserahkan, kita bermula dari kosong. Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian disusun semula dan pelantikan dibuat selepas menerima arahan Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pusat bagi memastikan parti dapat mengembalikan keyakinan ahli di Semporna.

“Demikianlah sedikit sebanyak kejutan yang kami dan semua pimpinan bahagian serta cawangan yang masih setia terpaksa pikul.

“Syukur Alhamdulillah, walaupun cabarannya amat berat, kita dapat urus dan pulihkan semula maruah parti dengan kerjasama rakan AJK Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri,” katanya. – BH ONLINE

Apa Komen dan Pendapat Anda