Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,794

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wujudkan jawatankuasa khas untuk tangani isu berkaitan pendidikan: Sapawi

2:35pm 03/11/2015 Dewiana Tinggolongon 64 views Kota Kinabalu,Tempatan

SapawiKOTA KINABALU- Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad menyarankan supaya diwujudkan Jawatankuasa Khas peringkat negeri bagi mendapatkan input pelbagai isu berkaitan pendidikan.

Katanya, ia termasuk berkaitan pelaksanaan dan penyelarasan pelbagai usaha dan projek pendidikan, selain mendengar suara rintihan dan masalah berkaitan pendidikan.

Beliau berkata Sabah mempunyai exco pendidikan iaitu Menteri yang diberi tanggungjawab terhadap isu-isu berkaitan pendidikan, yang boleh menjadi pengerusi atau pengerusi bersama Jawatankuasa Khas itu kelak.

“Senada dengan matlamat itu, kita mengharapkan agar tindakan proaktif dan lebih efektif diambil, bagi mengangkat taraf pendidikan di Sabah, dan juga Sarawak, yang selama ini masih tertinggal, akibat bermacam hambatan dari segi dasar dan falsafah, serta cara pelaksanaan dan sistem penyampaiannya,” katanya.

Berucap membahas Bajet 2016 di Dewan Rakyat, beliau menyambut baik langkah dan usaha memperkasa bidang pendidikan sebagaimana terkandung dalam belanjawan berkenaan.

Sapawi juga menyarankan supaya langkah terbaik diambil bagi menangani kekurangan tenaga pendidik dalam kalangan anak tempatan Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kuota pengambilan pelajar bidang pendidikan anak-anak Sabah ke institusi pengajian tinggi (IPT) ditingkatkan, seterusnya memilih mana-mana IPT di Sabah sebagai salah satu tempat latihan perguruan, bagi membolehkan pelatihnya memahami, mendekati dan menghayati sosiobudaya masyarakat tempatan terlebih dahulu, selain institusi latihan perguruan sedia ada.

Beliau yakin pendekatan sebegini mampu mengatasi isu kekurangan guru terlatih untuk negeri Sabah.

Katanya, perangkaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menunjukkan hampir 3,000 daripada kira-kira 8,000 guru dari Semenanjung yang sekarang mengajar di Sabah, memohon untuk kembali ke negeri masing-masing pada tahun ini.

“Isu guru Semenanjung memohon pulang ke negeri asal, berlaku sejak berdekad lalu, dan ia antara punca kurang berkembang tahap pendidikan di Sabah kerana apabila guru baru dari Semenanjung dihantar ke tempat kami, mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan sosiobudaya dan persekitaran geografi.

“Menerusi Jawatankuasa Khas itu kelak, isu-isu sebegini boleh dicari jalan penyelesaian terbaik, malah matlamat mencapai 90 peratus guru Sabah dan Sarawak terdiri daripada anak tempatan boleh dicapai dalam tempoh tiga tahun sebagaimana dijanjikan oleh Perdana Menteri dalam lawatan ke negeri sewaktu Hari Malaysia baru-baru ini,” katanya.

Sapawi juga menyarankan agar kadar elaun perumahan guru-guru antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung diseragamkan, atas semangat 1Malaysia.

Mengikut perangkaan pada masa ini, guru dari Semenanjung yang ditukarkan ke Sabah mendapat elaun perumahan sebanyak RM885 sebulan, manakala guru Sabah yang dihantar ke Semenanjung hanya mendapat elaun perumahan RM460 sebulan.

Beliau yakin Menteri Pendidikan yang baharu mampu menangani isu-isu pendidikan di Sabah memandangkan beliau pernahmenabur bakti sebagai pendidik selama berpuluh tahun di Sabah, termasuk sebagai Pengetua di SMK Gadong, sebuah sekolah dalam kawasan Parlimen  Sipitang.

Mengenai pendidikan di Sipitang, Sapawi merujuk semula status cadangan menaik taraf Sekolah Menengah Pengiran Omar (SMPO) Sipitang, iaitu sekolah tertua dalam Parlimen Sipitang, dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sipitang yang diperbuat daripada kayu  iaitu dua kemudahan pendidikan berkeadaaan amat daif.

Katanya, dua isu berkenaan sudah beberapa kali diketengahkan, malah pernah diisytiharkan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan dalam satu majlis bersama rakyat di Sipitang pada 2013.

Selain itu, beliau turut bertanya kepada kementerian berkaitan pelaksanaan projek jalan raya Mendulong-Meligan-Long Pasia; Jalan Ulu Karangan-Lumadan; dan Jalan Mentulud-Bangkalalak.

Beliau merayu supaya jalan-jalan berkenaan dinaik taraf termasuk kemungkinan dilaksana secara pakej.

Sapawi turut mengalu-alukan pengumuman dalam Bajet 2016 mengenai pelaksanaan projek Pan-Borneo bagi jajaran Sabah tahun hadapan, bermula di Sindumin (dalam Parlimen Sipitang) sehingga ke Tawau, meliputi jarak 706 kilometer, dengan anggaaran kos RM12.8 bilion.

“Lebih menarik dan mengembirakan lagi ialah jaminan kerajaan bahawa lebuhraya Pan-Borneo ini akan bebas daripada bayaran tol,” katanya.

Beliau berkata Sipitang merupakan pusat pertumbuhan baru ekonomi dan kerajaan negeri sudah membangunkan kawasan ini sebagai Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang, yang dijangka meletakkan pelaburan berbilion ringgit.

Ketika ini, ia sudah dimulakan dengan pelaksanaan projek Samur melalui Petronas dengan kos RM4.6 bilion.- Sayangsabah.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan