Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,734

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wujudkan Agensi Berita ASEAN Untuk Perkukuh Kerjasama – Salleh

1:57pm 05/04/2016 Pak Roshan 8 views Mutakhir,Nasional

salleh-600x450-600x450

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan penubuhan sebuah agensi berita serantau atau Agensi Berita ASEAN dalam usaha memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang sejajar dengan semangat Komuniti ASEAN.

Beliau berkata menerusi rangkaian agensi berita negara anggota, Agensi Berita ASEAN yang dicadangkan itu boleh menyumbangkan liputan berita menyeluruh dari kesemua 10 negara anggota perkumpulan serantau itu.

“Kebanyakan daripada negara anggota perkumpulan ini telahpun mempunyai agensi berita nasional mereka sendiri. Sebagai contoh, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang wujud sejak 48 tahun lepas.

“Untuk terus mara dan berikutan Komuniti ASEAN yang sudahpun menjadi kenyataan, Agensi Berita ASEAN yang saya cadangkan di sini, biar lambat namun pasti, boleh menjalankan peranan yang signifikan dalam memperkukuhkan kerjasama ASEAN dalam pelbagai bidang,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Editor ASEAN, di sini hari ini.

Dalam hubungan ini, Salleh mahu peserta Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung dua hari untuk memulakan perbincangan awal berkaitan cadangan itu.

Beliau berkata Sekretariat ASEAN boleh menentukan negara yang akan menjadi tuan rumah agensi berkenaan sebaik sahaja kesepakatan dalam kalangan negara anggota diperoleh selepas ini.

“…dan sudah tentulah perkara seperti kaedah pengendalian dan pembiayaannya. Pada pandangan saya, ia malah boleh dipercepatkan dengan cara setiap agensi berita meminjamkan editor dan wartawan kanan mereka kepada agensi berita yang dicadangkan ini, yang pada dasarnya boleh berperanan sebagai sebuah pusat penghantaran bagi laporan berita yang dikeluarkan oleh agensi-agensi terbabit.

“Tugas untuk memperincikan butirannya (Agensi Berita ASEAN) akan menjadi cabaran kepada agensi yang mengambil bahagian namun saya yakin ia boleh dilakukan,” katanya.

Selanjutnya, Salleh berkata hampir setiap 1,500 pertubuhan media dalam negara anggota ASEAN sering berdepan isu rentas sempadan yang mempunyai kaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara, dan isu terbabit perlu dilaporkan menerusi cara yang mesra dan telus, supaya ia tidak terus merumitkan lagi konflik di peringkat serantau dan global.

Justeru, beliau berkata hubungan kukuh antara pertubuhan media perlu dipupuk untuk mengekalkan keamanan serta keharmonian serantau, dan agensi berita ASEAN akan membuka peluang yang lebih baik kepada pengamal media dan wartawan untuk saling berinteraksi serta bekerjasama. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan