Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,787

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wujud Tabung Kecemasan bantu sekolah uzur: Zakiah

5:33pm 01/12/2016 Leolerry Lajius 13 views Tempatan

Kuala Lumpur : Penubuhan sebuah tabung kecemasan pendidikan merupakan antara usul yang dicadangkan Pergerakan Puteri UMNO Sabah ketika membahaskan usul pendidikan semalam.

Ketua Puteri Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya berkata, tabung kecemasan itu akan memudahkan urusan pemberian peruntukan kecemasan bagi membaik pulih sekolah-sekolah yang uzur dan ditimpa musibah.

Menurutnya, tabung kecemasan itu juga boleh dipohon pada bila-bila masa tanpa menunggu giliran atau keutamaan.

“Puteri UMNO Sabah amat terkesan dengan insiden keselamatan dan sekolah-sekolah daif di Sabah. Oleh itu kita mengusulkan agar Kementerian Pendidikan menubuhkan tabung kecemasan ini bagi membolehkan peruntukan segera disalurkan bagi membaik pulih sekolah yang uzur,” katanya ketika membahaskan ucapan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ( Usul Pendidikan) di sini semalam.

Zakiah menambah, Puteri UMNO Sabah juga memohon Kementerian Pendidikan atau mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meluluskan sekali gus menyalurkan dana bagi pelaksanaan program OSH dibawah kendalian NIOSH di semua sekolah di negara ini.

Perkara itu katanya penting kerana keselamatan perlu dididik dari peringkat awal bagi memberi pendedahan terhadap aspek tersebut.

“Isu keselamatan di sekolah amat membimbangkan semua pihak terutama ibu bapa. Sehubungan itu, kesediaan NIOSH untuk membantu memberi penerangan berhubung OSH perlu disambut dengan tangan terbuka oleh kementerian,” katanya.

Puteri UMNO Sabah jelas beliau turut memohon perhatian kerajaan supaya menyediakan peruntukan khas dengan pemberian jaket keselamatan kepada pihak sekolah untuk kegunaan kakitangan dan murid yang terpaksa menaiki bot ke sekolah.

Ujarnya lagi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula digesa memberi perhatian kepada jalan-jalan penghubung kawasan luar bandar dan kampung-kampung.

Sementara itu, Zakiah berkata, Puteri UMNO Sabah meminta Kementerian Pendidikan menyelaraskan elaun guru-guru daripada Sabah yang berkhidmat di Semenanjung sama seperti mana dengan guru-guru Semenanjung yang berkhidmat di Sabah.

Dalam perhimpunan Puteri Umno Malaysia, Zakiah turut menyatakan bahawa cabaran parti tidak akan berhenti siapapun Presiden Parti dan cabaran parti tidak akan pernah berhenti sekalipun nafas kita telah terhenti.

Tegas beliau Puteri UMNO Semporna memilih untuk tetap setia kepada Parti UMNO. Semoga kita semua diberi kekuatan dan terus istiqomah dalam perjuangan ini./SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan