Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Warkah Untuk Hati Anda Yang Sedang Kecewa

Gambar Hiasan

 

Ditujukan khas buat hati yang sedang kecewa dan buat sesiapa sahaja yang sedang berduka.

Air mata yang mengalir menahan kesusahan hidup di dunia. Adakala, hati tertanya-tanya. Kenapa aku yang diuji dengan kemiskinan?

Kenapa aku diuji dengan kematian suami? Kematian isteri? Kematian anak-anak yang dicintai? Serta ujian-ujian yang lain. Kenapa bukan orang lain?

Sesungguhnya persoalan ini telah lama dijawab oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui. Sedangkan kamu tidak mengetahui.”Surah al-Baqarah:216

Ketika kehilangan insan yang disayangi, kita semua pasti akan terduduk menangis. Sesiapa pun kita pasti akan merasa sebak di dada.

Rasulullah SAW sendiri tetap merasa sedih semasa kematian anaknya. Kesemua anak lelaki Rasulullah SAW meninggal dunia di waktu kecil. Dalam kesedihan, baginda tetap bersabar.

Tangisan itu adalah fitrah sebagai seorang manusia. Tidak salah menangis ketika insan yang disayangi telah pergi.

Tetapi, kesedihan itu biarlah terkawal dan tidak berlebih-lebihan sehingga meratap, membawa fitnah kepada agama Islam dan jangan sampai berbulan-bulan lamanya sehingga memudaratkan diri sendiri.

Tangisan ini juga adalah salah satu penawar yang mujarab untuk melepaskan kesedihan di hati. Jangan dipendam apabila kecewa melanda. Nanti menyebabkan luka kesedihan semakin mendalam. Luahkan sahaja dan biarlah berpada caranya.

Jangan menangis sehingga merosakkan diri dan menjadi masalah kepada orang lain. Dalam tangisan, tanamkan dan sematkan pada hati yang semuanya adalah ketentuan Allah.

Allah mengaturkan sesuatu pasti ada hikmah yang tersembunyi. Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Jadikanlah tangisan kita adalah tangisan yang diredai Allah. Sesungguhnya, berbahagialah dan beruntunglah bagi mereka yang bersabar. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya.”Riwayat al-Bukhari

Kenapa Aku Yang Diuji?

Sebenarnya kita semua diuji. Kekayaan adalah ujian. Kemiskinan juga adalah ujian. Secara keseluruhannya, kehidupan kita adalah satu ujian.

Bermulanya kita dilahirkan di dunia sehinggalah ke nafas yang terakhir, ketika inilah fasa ujian mendatangi kita. Tidak terkecuali walaupun seorang. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”Surah al-Ankabut:2

Kita sebagai orang yang beriman pasti akan diuji. Adakah cukup kita mengaku beriman, sedangkan kita tidak diuji Tuhan? Sesekali tidak.

Ujian itu adalah cara Tuhan untuk melihat seberapa kuat keimanan kita. Adakah mampu atau tidak untuk mengharunginya?

Ibaratnya, kita di sekolah. Sebagai seorang pelajar, kita hendaklah menduduki peperiksaan terlebih dahulu. Dengan ujian peperiksaan itulah kita dapat mengetahui adakah kita pelajar berjaya ataupun gagal.

Adakah boleh kita menyatakan yang kita pelajar cemerlang, sedangkan langsung tidak mengambil ujian peperiksaan?

Semestinya tidak boleh. Begitulah juga dengan ujian kehidupan. Sekadar mengaku beriman sahaja dimulut itu tidak memandai dan tidak mencukupi. Ujian juga perlu ada untuk melihat kualiti iman sebenar kita.

Dosamu Terhapus Kerana Ujian

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak menimpa seseorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.”Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kita sebagai anak Adam tidak akan terlepas daripada dosa. Sama ada dosa kecil ataupun dosa besar. Hamba yang berdosa akan dihukum di neraka.

Jadi mahukah kita ke neraka? Semuanya akan mengelengkan kepala dan mengatakan tidak. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

Tidak semena-mena, ujian yang kita tempuhi rupanya adalah penghapus dosa-dosa kecil kita. Tersentak seketika. Ujian itu bukan satu kesusahan yang kosong dari Tuhan. Ujian itu penuh erti bagi kita. Ia membawa kebaikan yang tersembunyi.

Ketika kita sakit, Allah menghapuskan dosa kita yang terdahulu. Ketika kita menghadapi masalah keluarga, mungkin Allah mahu menghapuskan dosa kita yang silam atau dosa-dosa yang tidak kita sedari.

Ingatlah! Allah tidak zalim. Allah Maha Adil. Ketika ujian dirasa pahit, ia diibarat ubat penawar menghilang dosa kecil. Ketika ujian dirasa perit, ia tanda Allah sayang kepada kita.

Bahagiakah kita jika hidup dalam bergelumang dosa? Biarlah ujian menimpa, yang penting kasih sayang Tuhan masih ada kepada kita.

“Kebaikan yang tidak ada padanya sebarang keburukan; bersyukur ketika kesejahteraan dan bersabar ketika ditimpa musibah.”Aun bin Abdullah

Lihatlah Mereka

Rasulullah SAW turut hebat diuji, begitu juga para sahabat baginda. Ujian itu membuatkan mereka semakin dekat kepada Tuhan.

Di saat kelaparan, mulut tidak lekang dengan nama Tuhan. Di saat kesakitan, mulut tidak henti-henti mengungkap kalimah Tuhan.

Lihatlah pula orang yang disekeliling kita. Ada yang lebih susah daripada diri kita. Mahu makan tidak ada makanan. Tempat tinggal pula sekadar sewa dan cuma di bawah jambatan.

Kenderaan pula tidak ada, ada yang cuma berjalan. Allahurabbi. Kita sepatutnya bersyukur. Kita tidak diuji sedahsyat mereka.

Kala hati sedang merungut lihatlah mereka yang lebih bawah dan susah daripada kita. Moga ia dapat mengubati hati yang sedang kecewa.

Hati yang kecewa tetapi masih ada segalanya. Ayuh jangan teruskan kecewa yang berpanjangan kerana kehidupan kita hanya sesingkat cuma.

Kelemahan Bukan Penghinaan Dari Tuhan

Manusia sifatnya lemah. Itulah hakikat diri kita sebagai hamba Allah. Kita tidak dapat lari daripada perasaan bersedih, berduka dan kecewa.

Dalam kegembiraan pasti terselit kesedihan. Dalam suka adanya duka. Kenapa Allah jadikan kita lemah sedangkan kita adalah sebaik-baik ciptaanNya?

Sesungguhnya kelemahan itu bukan satu penghinaan dari Tuhan tetapi ia adalah jalan untuk mendekatkan diri pada Tuhan.

Allah tahu apa yang terbaik kepada hambaNya. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Manusia saling lengkap-melengkapi.

Si A pandai dalam perubatan. Si B pula, pandai dalam bidang arkitek. Si C tidak mahir dalam bidang perubatan dan arkitek tetapi bijak dalam pertanian.

Begitulah manusia. Masing-masing ada kemahirannya. Tidak perlu sombong dan angkuh diri kerana kita tidak tahu kesemuanya.

Bila kita sedar kelemahan diri, secara tidak langsung kita akan teringatkan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Betapa, tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT.

Kepada hati yang sedang kecewa, jangan kecewa sepanjang masa. Kita masih ada peluang dan masih ada harapan. Kehidupan dunia kehidupan sementara.

Begitulah juga masalah yang dihadapi, ia bersifat sementara. Jangan mengharapkan kesempurnaan pada dunia yang seketika. Tapi mintalah kecekalan hati untuk menerima ujianNya.

Akhir kalam, dengari pesanan Hasan al-Basri ini;

“Sabar itu seperti harta karun di antara banyaknya harta karun syurga. Tidaklah ia diberikan oleh Allah melainkan kepada hamba-hamba yang mulia disisiNya.”

Jangan berputus asa, Allah bersama kita. Waallahualam.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Fazli Abdullah)

Komen


Berita Berkaitan