Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

WARISAN fail petisyen pilihan raya

MOHD Shafie (dua dari kiri) beramah mesra bersama tetamu istimewa yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) dijangka memfailkan petisyen mencabar keputusan empat kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Petisyen itu dibuat bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerusi Parlimen dan DUN itu, yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu tidak sah dan terbatal, termasuk kerusi Tan Sri Musa Aman (DUN Sungai Sibuga) dan adiknya, Datuk Seri Anifah Aman (Parlimen Kimanis).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau mengarahkan satu pasukan peguam untuk memfailkan petisyen secara serentak kerana ada bukti berlakunya unsur ugutan dan penipuan pada PRU-14.

“Proses undang-undang harus dilaksanakan. Jangan fikir kita sudah menjadi kerajaan, kita memaafkan mereka jika mereka melanggar undang-undang.

“Saya pasti, pasukan peguam kita akan melihat pada fakta dan bukti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Menara Tun Mustapha di sini, hari ini.

WARISAN dijangka turut memfailkan petisyen itu bagi kerusi Parlimen Keningau yang dimenangi Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffry Kitingan, Parlimen Sipitang (dimenangi anak lelaki Musa, Hafez Musa dari BN-UMNO) dan Parlimen Libaran (Datuk Zakaria Mohd Edris dari BN-UMNO).

Sementara itu, petisyen itu turut membabitkan kerusi DUN, iaitu DUN Sook yang dipegang Datuk Ellron Angin dari BN-Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Kundasang (Joachim Gunsalam dari BN-Parti Bersatu Sabah atau PBS) dan Kiulu (Datuk Joniston Bangkuai dari BN-PBS).

Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN, berkata antara bukti dan fakta, termasuk menawarkan wang untuk mendapatkan undi serta isu pertambahan kotak undi pos dan isu Borang 14.

“Saya serahkan kepada peguam (untuk menangani kes ini) kerana mereka adalah kumpulan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua Jr, berkata sidang media akan diadakan pada jam 9 pagi esok berhubung perkara itu selepas proses memfailkan petisyen di mahkamah selesai. – Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan