Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Warga perkhidmatan awam jangan mudah berasa selesa: Musa

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, semasa menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, semasa menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Banyak kejayaan yang dicapai oleh jabatan kerajaan negeri mahupun Persekutuan demi memastikan pembangunan Sabah, membuktikan komitmen dan dedikasi penjawat awam dalam menjalankan tugas diamanahkan.

Dalam erti kata lain, apa juga pencapaian kerajaan dalam pelbagai sektor adalah hasil sumbangan penjawat awam yang bertugas di negeri ini tanpa mengenal penat lelah dan jemu menabur bakti untuk rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, untuk membela nasib rakyat tidak cukup hanya dengan adanya anggota pentadbiran atau pemimpin kerajaan yang memerintah dan mentadbir negeri, sebaliknya ia memerlukan komitmen anggota perkhidmatan awam sebagai rakan kongsi pintar yang bersama-sama menjayakan Halatuju dan Transformasi kerajaan.

“Sebanyak 20 jabatan kita mendapat penarafan empat bintang. Kita mempunyai pengurusan kewangan terbaik, pengurusan hutan dan konservasi serta pemberian tanah menerusi pengenalan geran komunal.

“Kebanyakan yang kita lakukan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Dalam erti kata lain, anda (penjawat awam) berjaya melaksanakan bermacam-macam program menerusi idea dan inisiatif sendiri demi kesejahteraan rakyat.

“Saya amat berbangga dengan anda. Jangan malu dengan apa yang dicapai, kadang kala kita tidak mahu bercakap (mengenai kejayaan itu) kita biar… kerana kita sendiri telah membuktikannya,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Anggota perkhidmatan awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin
Anggota perkhidmatan awam yang hadir dalam Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2015 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu. foto Ille Tugimin

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Asnimar Sukardi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.

Musa dalam amanatnya turut menggesa penjawat awam mesti berani kerana sebagai penjawat awam tumpuan mereka adalah untuk memastikan pentadbiran dan jentera kerajaan terus berjalan lancar dengan sasaran meningkatkan lagi kecemerlangan dalam perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa warga perkhidmatan awam mampu dan berupaya memberikan perkhidmatan yang terbaik, berkualiti dan memenuhi kehendak stakeholders.

“Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa jangan mudah berasa puas hati dengan apa yang dicapai. Kita mahukan peningkatkan dari masa ke semasa untuk menjadi yang terbaik,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan, untuk membangun dan memajukan negeri semua pihak perlu bergerak, bekerja dan bertindak sebagai satu pasukan yang kukuh dan mantap. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan