Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

WARGA LABUAN SOKONG KOMPLEKS PASAR LABUAN YANG BAHARU

kompleks

LABUAN, 26 Feb : Selepas berdekad-dekad membeli-belah dalam persekitaran yang sesak, warga Labuan amat berharap sebuah pasar baharu yang menjanjikan kemudahan yang lebih baik, moden, selesa dan bersih.

Kompleks Pasar Labuan Sentral yang telah siap dibina, akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu, untuk merancakkan aktiviti keusahawanan tempatan.

Kompleks itu yang terletak di Jalan Ujung Pasir, menawarkan pelbagai kemudahan untuk orang awam seperti terminal bas dan teksi, dibina dengan kos RM33.3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Datuk Nadzri Othman berkata kompleks itu disiapkan pada akhir tahun lepas dan penambahbaikan kini dalam proses untuk dilaksanakan bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih baik kepada peniaga.

Beliau berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga akan diwujudkan di kompleks itu, bertujuan untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kepada masyarakat bandar di bawah satu bumbung.

Nadzri berkata kawasan yang dicadangkan untuk UTC merupakan kawasan tumpuan orang ramai iaitu dengan adanya terminal bas dan teksi, pasar basah dan pusat membeli-belah.

Peniaga dan pelanggan memuji kompleks pasar baharu itu, menyifatkannya sebagai model kompleks yang dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih baik untuk orang awam dan peniaga.

Salleh Yussof, 55, pemilik gerai sayur-sayuran di pasar itu berkata dengan siapnya pasar baharu itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu usahawan tempatan selepas pembinaannya lama tertangguh.

“Ia adalah sebuah kompleks pasar serba lengkap, untuk menggantikan pasar lama yang usang dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia adalah tepat pada masanya kompleks baharu ini dibina. Sebagai peniaga, kami amat berterima kasih kepada kerajaan menyediakan infrastruktur ini,” katanya.

Ramai orang berkata masalah utama yang dihadapi peniaga di pasar lama ialah kesesakan lalu lintas berikutan kekurangan tempat meletak kenderaan dan ini telah menyebabkan pelanggan berkurangan.

Pendapat yang sama turut dikongsi penjual ikan, Maimunah Omar, 49, yang berkata kesesakan itu adalah berpunca daripada pemborong yang menggunakan tempat letak kereta untuk memunggah barangan mereka.

“Menempatkan aktiviti perniagaan pasar ini ke kompleks baharu, yang dilengkapi dengan infrastruktur yang lebih baik dan tempat letak kereta, sudah pasti membantu menyelesaikan masalah ini. Ia adalah satu kelegaan bagi kami. Dan ia memberi manfaat kepada peniaga dan pembeli,” katanya.

Rezal Latif, 62, seorang pesara, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan komitmennya, meletakkan kepentingan orang ramai terlebih dahulu.

“Kita telah melihat projek pembangunan dan pelbagai skim bantuan yang dilaksanakan kerajaan telah banyak membantu orang ramai secara umum,” katanya. Beliau berkata jika projek pembangunan sedemikian diteruskan dan memberi manfaat kepada orang ramai, sokongan mereka kepada kerajaan BN akan berterusan dan meningkat. — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan