Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,777

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Warga Filipina, Indonesia dipenjara 12 hingga 24 bulan

7:49pm 30/11/2016 Pak Roshan 109 views Jenayah,Mutakhir
gambar hiasan

gambar hiasan

PORT DICKSON: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara antara 12 hingga 24 bulan terhadap sembilan warga Filipina dan seorang Indonesia, kerana mengguna dan menyimpan kad pengenalan palsu serta milik orang lain.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak, menjatuhkan hukuman itu terhadap lima lelaki dan enam wanita selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh warga Filipina adalah Albert Kamlun, 25; Rosalinda Rajak, 49; Rosnah Sahibal, 38; Sanida Usman, 39; Aminuddin Arsyad, 30; Basil Asrakal, 30; Arjin Alim, 42; Karsom Jahali, 41, dan Nur Jidah Hamid, 33, manakala warga Indonesia, Turija Suparto, 39.

Mereka didakwa menggunakan kad pengenalan palsu di Taman PD Utama, Jalan Bagan Pinang dan Jimah Camp Enterprise Bukit Pelandok di sini, antara jam 1.50 pagi hingga 4.50 pagi, antara 26 November hingga 28 November lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Albert, Aminuddin, Basil dan Arjin, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, manakala Rosalinda, Rosnah, Turija, Sanida dan Karsom (15 bulan) dan Nur Jidah (12 bulan).

Sementara itu, Albert dan seorang lelaki yang mengaku warga tempatan, Ridzman Nasir, 20, didakwa memiliki kad pengenalan milik individu lain di Taman PD Utama di sini, antara jam 2.50 pagi sehingga 4.50 pagi, 28 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Albert yang mengaku bersalah bagi pertuduhan ini, dipenjara 24 bulan yang berkuat kuasa selepas hukuman pertama tamat, manakala Ridzman mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Disember ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nor Imasaruzaida Mohammad Zakuan dan Mohd Fazdhly Abdul Razak, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan