Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,768

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Warga Emas Berjaya Selamatkan 20 Anggota Keluarga Dalam Kebakaran

11:29pm 16/11/2016 Pak Roshan 267 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan
Foto Ihsan Pembaca

Foto Ihsan Pembaca

SEMPORNA : Sekalipun sudah menjangkau usia warga emas, Asmara Saburani, berjaya bertindak dan menyelamatkan 20 anggota keluarganya dalam kebakaran di Kampung Balimbang di Pulau Bum Bum, dekat sini semalam.

Kebakaran itu memusnahkan rangkaian semua 60 rumah air di pulau itu, mengakibatkan sebagaian besar dari 412 mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Jambatan yang menghubungkan rumah masing-masing dengan daratan turut terbakar dan hanya sempat digunakan oleh sebahagian penghuni sebelum alat penghubung itu musnah sama sekali.

Mujur penghuni yang lain cekap berenang menyelamatkan diri ke daratan.

Begitu juga beberapa orang anak dan menantu Asmara, 59.

Beliau bagaimanapun sempat menggunakan jambatan rumahnya menyelamatkan diri dan cucu berusia tiga tahun.

“Jambatan 80 peratus hangus, hanya terjun ke laut saja cara untuk menyelamatkan diri bagi anggota keluarga saya.

“Syukur anak-anak ini pandai berenang,” katanya dengan linangan air mata, ketika ditemui Bernama hari ini, di dewan serbaguna kampung itu, pusat pemindahan sementara mangsa.

“Allah selamatkan saya, sebab itu saya terbangun dan Allah beri saya kekuatan kaki untuk melalui jambatan yang sudah separuh hangus untuk sampai ke daratan, bersama cucu,” kata Asmara.

“Sebelum kejadian, saya tidur bersama cucu dan apabila terbangun keadaan di luar sudah bising dengan jeritan meminta tolong dan ‘api-api’.

“Saya terus mengangkat cucu yang masih tidur dan berlari keluar sambil berteriak mengejutkan anak-anak dan yang lain untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Asmara terkilan kerana rumah yang menjadi tempat berteduh 20 anggota keluarganya termasuk anak dan cucunya selama ini hangus dalam sekelip mata.

“Rumah itu didirikan atas hasil titik peluh makcik berniaga sayur di pekan Semporna,” katanya.

Dalam pada itu, tindakan pantas seorang ibu yang dalam berpantang mengejutkan suaminya berjaya menyelamatkan keluarga termasuk bayinya yang berusia 20 hari dari kebakaran.

Sewaktu kejadian, Nurain Abd Raja, 30an, berkata beliau sedang tidur di sebelah anak lelakinya itu tetapi terbangun selepas terdengar bunyi bising dari luar rumah.

“Mendengar teriakan api-api! saya terus mengejutkan suami…suami telah memapah saya ke daratan dan ketika dipapah itu saya turut mengendong anak pertama saya,” katanya.

Katanya, ketika itu keadaan di luar rumah sudah huru hara dengan api semakin marak dan pantas menular ke rumah-rumah lain.

“Waktu itu jambatan dari rumah kami yang dilalui masih belum terbakar dan kami selamat sampai ke daratan,” katanya.

Ketika sampai di daratan, Nuraian yang tidak berdaya kerana baru lepas bersalin itu berkata, beliau hanya mampu berdoa agar jiran-jiran lain turut  selamat dan tiada kemalangan jiwa.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran iaitu ibu kepada lapan anak,  Ros Masiral, 40an, berkata beliau terpaksa berlari sambil mengendong anaknya berusia sebulan untuk menyelamatkan diri.

“Walaupun belum habis berpantang dan masih tidak berdaya tetapi saya terpaksa gagahi diri untuk menyelamatkan anak kecil saya,” katanya.

Ditanya mengenai punca kebakaran, beliau berkata kejadian itu mungkin berpunca dari api memasak yang tidak ditutup dari rumah yang berada di bahagian tengah kawasan.

“Saya terbau asap dan terus mengejutkan suami, kemudian saya membuka tingkap dan terkejut melihat api di rumah jiran telah marak dan menyambar rumah lain,” katanya.

Kebakaran semalam, pada kira-kira pukul 4 pagi, merupakan insiden kedua dalam tempoh empat hari selepas kebakaran di Kampung Hampalan Laut pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Umbuas ketika ditanya, menolak insiden berkenaan akibat unsur jenayah.

“Tiada unsur khianat,” katanya menerusi Whatsapp.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah berkata pihaknya akan membincangkan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat perkara menyediakan khemah sementara untuk mangsa.

Rata-rata mangsa kebakaran yang ditemui memohon agar satu penempatan khas disediakan untuk mereka, selain sumbangan berbentuk makanan, kelengkapan tidur dan pakaian.

— BERNAMA

kebakaran

Foto Ihsan Pembaca

Foto Ihsan Pembaca

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan