Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wanita USIA Tumpu Program Dakwah Lahirkan Generasi Holistik – Azizah

USIA

KOTA KINABALU– Pergerakan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menumpukan program dakwahnya kepada pembangunan keluarga dalam usaha melahirkan generasi holistik dari segi jasmani dan rohani.

Ketua Pergerakan Wanita USIA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata melalui program dakwah itu, ia akan dapat mendidik anak-anak menjadi insan cemerlang yang mampu menjalankan tanggungjawab kepada bangsa dan negara.

“Usaha dakwah ini akan mengkhususkan kepada program untuk mewujudkan sebuah keluarga sakinah (bahagia) kerana keluarga yang bahagia akan dapat melahirkan anak-anak yang berpendidikan,” katanya kepada pemberita pada majlis Ihya Ramadan anjuran Pergerakan Wanita USIA di Dewan Utama, Menara USIA di Likas, dekat sini Ahad malam.

Turut hadir Yang Dipertua USIA Tun Sakaran Dandai dan isteri, Toh Puan Siti Rukaiyah Abdullah serta pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata, program dakwah yang dimulakan pada awal Ramadan ini turut menjejaki masyarakat Islam yang tinggal jauh di kawasan pedalaman bagi memberi kefahaman jelas tentang agama Islam sebenar di samping mengeratkan silaturahim sesama Muslim.

Katanya, antara kawasan yang telah dilawati ialah Ranau dan Kiulu seterusnya akan melawat Kuala Penyu dalam masa terdekat.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata banyak masyarakat Islam yang tinggal jauh di pedalaman telah memeluk Islam sejak tahun 80-an, masih kurang pendedahan mengenai ajaran Islam.

“Sebagai NGO dakwah, USIA akan berusaha untuk mendekati mereka ini, mengembalikan semula ikatan persaudaraan supaya keharmonian, kesefahaman dan kesepaduan yang telah lama terjalin akan dapat kita mantapkan lagi,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 30 anak-anak yatim dari sekitar Kota Kinabalu turut diberi sumbangan sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

Komen


Berita Berkaitan