Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wanita Umno Sepanggar lulus usul rakyat Sabah dilantik Guru Besar, Pengetua

KOTA KINABALU – Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Sepanggar hari ini meluluskan usul meminta kerajaan melantik jawatan Guru Besar dan Pengetua sekolah di negeri ini di kalangan rakyat Sabah.

Ketuanya, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, pelantikan secara menyeluruh itu perlu dibuat memandangkan terdapat ramai rakyat Sabah yang sedang berkhidmat sebagai tenaga pengajar sekolah mempunyai kelayakan untuk dilantik ke jawatan tersebut.

“Ada ramai calon tempatan yang layak untuk dilantik sebagai Guru Besar dan Pengetua sekolah di negeri ini, namun peluang itu tersekat oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mewajibkan mereka kursus NPQEL,” katanya semasa mengemukakan usul berkenaan di mesyuarat perwakilan itu di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan dasar pendidikan tersebut juga telah menyebabkan ramai guru yang tidak berminat untuk menjalani kursus selama lima bulan itu kerana terpaksa membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Tugas sebagai Guru Besar dan Pengetua sekolah seharusnya dipegang oleh rakyat Sabah sendiri kerana mereka lebih memahami cara kehidupan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya lagi.

Sementara itu, mesyuarat perwakilan itu turut meluluskan usul meminta kerajaan mengkaji semula penyelarasan harga barang di antara Semenanjung dan Sabah selaras dengan konsep 1Malaysia.

“Jurang perbezaan harga barang jualan Semenanjung yang lebih murah berbanding di Sabah amat ketara sehingga membebankan golongan rakyat berpendapatan rendah,” katanya lagi.

Mesyuarat perwakilan yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno Kebangsaan, Datuk Rosni Zahari itu, sebulat suara meluluskan usul menyokong penuh barisan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah.

–  Oleh Nuzir Andi Samsiar / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan