Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

12,510

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wanita, Seorang Pecinta Yang Nafasnya Dipuncakan Dari Tulang Belakang Kamu, Wahai Lelaki

1:53pm 21/03/2017 Zikri Zainudin 32 views i-Muslim

Gambar Hiasan

Sabda Rasulullah SAW,

“Berbuat baiklah kepada wanita kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah rusuk yang paling atas. Maka, perlakukanlah setiap wanita dengan baik.”

Hadis Riwayat Bukhari

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam amat memuliakan kaum wanita. Bagai mutiara yang mahal harganya, begitulah perumpamaan bagi seorang wanita muslimah yang perlu dipelihara sebaiknya.

Islam datang membawa rahmat kepada kaum ini, iaitu dengan memperbaiki keadaan mereka yang dahulunya dianggap remeh oleh kaum lelaki.

Jika dahulu, pada zaman jahiliyah kaum wanita dianggap sebagai musibah.

Bahkan, mereka sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka dek kerana malu memilikinya pada zaman itu. Inilah antara perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah dahulu.

Hal ini seperti yang diceritakan dalam firman Allah swt yang bermaksud;

“Apabila salah seorang dari mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, menjadi merah padamlah wajahnya dalam keadaan menahan amarah. Dia menyembunyikan dirinya dari orang ramai kerana buruknya berita yang disampaikan kepadanya. (Dia berfikir) apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau menguburkannya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.”

An-Nahl: 58-59

Namun, setelah Islam datang melalui Baginda Nabi SAW, martabat kaum wanita ini diangkat naik menjadi satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Mengapa perlu berbuat baik kepada wanita? Ini kerana Islam amat memuliakan golongan ini. Terdapat beberapa fasa yang membuktikan bahawa Islam amat menghargai dan memelihara golongan ini, antaranya ialah;

1# Ketika Bayi

Benar, Islam menganjurkan umatnya untuk memuliakan wanita sejak usianya masih kecil, dan turut mencela perbuatan orang jahiliah dahulu kala yang menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup setelah mereka dilahirkan.

Rasulullah saw bersabda,

“Sesungguhnya Allah swt mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu-ibu kalian, mencegah dan meminta serta menanam anak perempuan hidup-hidup.”

Hadis riwayat Bukhari no.5975 dan Muslim no.593

2# Pada Usia Kanak-Kanak Dan Sebelum Baligh

Usia kanak-kanak dan sebelum baligh amat menguji kesabaran kedua ibu bapa. Ini kerana pada fasa ini mereka masih memerlukan kedua ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan hidup mereka. Juga, pada usia ini mereka akan banyak karenahnya.

Tahukah anda, sesiapa yang sabar menguruskan anak perempuannya turut beroleh ganjaran syurga? Hal ini seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“Barangsiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, dia melindungi, mencukupi, dan menyayanginya, maka wajib baginya syurga.’ Ada yang bertanya, ‘Bagaimana jika memiliki dua orang anak perempuan, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Dua anak perempuan juga termasuk’.”

Hadis riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad no. 178

3# Setelah Baligh

Apabila sudah baligh, kaum wanita haruslah menjaga dirinya dari pelbagai sudut, ini termasuklah dalam bab auratnya.

Dia perlu menutup anggota badannya daripada dilihat oleh kaum lelaki yang bukan dalam kalangan ahli keluarganya.

Allah swt memerintahkan perkara ini agar kaum wanita selamat dari mata-mata kaum lelaki yang berniat jahat terhadap mereka. Ini kerana, bentuk tubuh wanita sememangnya memiliki keunikan yang mampu menarik perhatian kaum lelaki.

Firman Allah swt yang bermaksud;

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin; ‘Hendaklah mereka melabuhkan kain tudungnya ke seluruh tubuh mereka.’ Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Al-Ahzab : 59

4# Setelah Menjadi Seorang Isteri

Apabila seorang wanita sudah mendirikan rumahtangga, dia perlu taat pada suaminya dalam hal kebaikan. Manakala para suami pula perlu melayani pasangannya itu dengan cara yang baik. Hal ini turut terkandung dalam firman Allah swt yang bermaksud;

“Dan bergaullah dengan mereka (para isteri) dengan cara yang baik.”

An-Nisa’: 19

Bahkan, Rasulullah saw adalah role model terbaik dalam melayani para isterinya, berdasarkan hadis Baginda yang bermaksud;

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap istriku.”

Hadis riwayat Tirmizi

5# Ketika Menjadi Seorang Ibu

Ibu, emak, mama, umi atau apa jua panggilan, ia merujuk kepada individu yang amat berjasa kepada seorang anak. Disebabkan mereka, kita ada di dunia. Justeru, tidak mustahil jika martabat seorang ibu ini diangkat melebihi seorang ayah.

Ini kerana seorang ibu itulah yang berasakan kepayahan mengandung, melahirkan dan menyusui anak itu hingga dia dilahirkan ke dunia.

Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah saw,

“ Wahai Rasulullah, siapakah di antara manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’ Rasulullah menjawab, ‘Ibumu.’ ‘Kemudian siapa?’ tanyanya lagi. ‘Ibumu,’ jawab Baginda. Orang itu kembali bertanya, ‘Kemudian siapa?’ ‘Ibumu.’ ‘Kemudian siapa?’ tanya orang itu lagi. ‘Kemudian ayahmu,’’ jawab Rasulullah.

Hadis Riwayat Bukhari No. 5971 Dan Muslim No. 6447

Oleh itu, jika kalian punyai ibu, santunilah ibu itu sebaiknya. Jika kalian sudah berumah tangga, layanilah pasangan tulang rusuk kirimu itu dengan penuh kasih sayang. Jika kalian punyai anak perempuan, didik dan asuhlah mereka dengan manhaj atau sistem pendidikan Islam sebaiknya.

“Wanita hebat melukis kekuatan melalui proses kehidupan. Bersabar saat tertekan, tersenyum saat hati menangis, diam saat terhina dan mempersona kerana memaafkan. Hargailah wanita.”

(Sumber: tazkirah.net, oleh Marina M. Arus)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan