Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,671

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wanita Sebagai Bahan Eksploitasi Dunia

12:21pm 26/10/2016 Zakir Sayang Sabah 82 views i-Muslim
cute_gray_cat-1366x768

Gambar Hiasan

Mengikut kamus dewan edisi keempat, ‘eksploitasi’ bermaksud perbuatan atau tindakan yang mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan secara tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.

Realiti pengekploitasian wanita bukan lagi perkara baru. Sudah lama kaum wanita dipergunakan demi menuntut keuntungan dan kepuasan hawa nafsu semata-mata. Sebagai contoh, iklan-iklan produk barangan misalnya dan pertunjukan serta persembahan di atas pentas yang menjatuhkan kedudukan wanita serta martabatnya.

Zaman sebelum kedatangan Islam benar-benar meletakkan wanita di kedudukan yang terhina, tertindas di bawah kekuatan dan kekuasaan kaum lelaki, bahkan wanita dan bayi perempuan ketika itu dianggap sebagai sebuah kehinaan sehingga dikuburkan hidup-hidup.

Lalu Islam datang dan mengangkat darjat wanita di tempat yang semulia-mulianya. Wanita diberikan mahar sewaktu dinikahi, dilindungi oleh kaum lelaki semenjak dilahirkan, dilarang bertabarruj dan diwajibkan menutup aurat demi menjaga kehormatan, tidak wajib mencari nafkah dan tidak wajib berjihad. Sungguh, Islam memuliakan para wanitanya.

Wanita Islam juga telah diberikan tanggungjawab khusus dan tugas mulia oleh Allah SWT iaitu keistimewaan untuk hamil, melahirkan zuriat, mengasuh serta mendidik anak-anaknya. Para wanita juga diberi amanah untuk menguruskan rumahtangga dan keluarga agar tersusun dan terjamin kebahagiaannya.

Sementara dalam hal ibadah pula, seperti solat, zakat dan puasa kaum wanita mempunyai persamaan dengan lelaki, iaitu mendapat pahala atas amalannya itu.

Namun masa demi masa, wanita seolah makin lupa akan peranan asalnya. Mereka kembali direndahkan dengan membiarkan diri diperguna sebagai alat peragaan dan pameran kepada golongan lelaki. Pendek kata golongan wanita hari ini sangat mudah dieksploitasi demi mendapat keuntungan tertentu. Sama ada secara rela atau terpaksa martabat kaum hawa tetap menjadi rendah dan lemah akibat perlakuan dan tindakan tersebut.

Kekesalan ini ditujukan kepada kumpulan wanita yang terlibat sebagai pelakon iklan, peragawati, cover girl, Umbrella Girl, Cheerleader, Ringcard Girl dan pelbagai lingkungan pekerjaan yang sama. Umum sudah jelas dengan gaya peragaan golongan ini yang berpakaian semenarik mungkin bagi mencapai tujuan utama, menarik perhatian para audien. Sehinggakan ada yang sanggup mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat mereka.

Bertubuh tinggi, berkulit cerah, ramping dan langsing, berambut panjang; inilah istilah ‘cantik’ bagi sebilangan wanita yang memenuhi bidang ini sebagai menifestasi ‘mempergakan benda yang cantik’ kepada umum.

Dalam mencari kesempurnaan untuk diperagakan, mereka disolek dengan hiasan yang sudah jauh daripada syarat syariat. Bahkan ada yang mengubah bentuk fizikal sendiri demi memiliki rupa paras dan tubuh badan yang lebih sempurna, iaitu melaui pembedahan plastik dan suntikan tertentu seolah-olah mengubah ciptaan Allah SWT.

Kadang-kadang tujuan menunjukkan diri ini bermula dari wanita yang cuma meminati pekerjaannya itu, tanpa mereka sedar penyimpangannya sudah jauh dari landasan agama.

Memperagakan tubuh badan di khalayak bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam. Apatah lagi menampilkan rambut dan pakaian terbuka sangat-sangat ditegah Islam.

Selain itu, penglibatan kaum lelaki bertindak sebagai pereka pakaian wanita, bahkan sebagai jurumekap dan jurukemara benar-benar mengiyakan hal ini sebagai sebuah eksploitasi. Inilah budaya Barat yang salah satunya berjaya meresap dalam masyarakat Islam hari ini. Wanita dieksploitasi dan diperhamba oleh hawa nafsu semata-mata.

Hal ini jelas memperlihatkan bahawa kecantikan dan kelebihan itu hanya dimanfaatkan sebaiknya sebagai alat pengaut keuntungan. Malangnya lagi, terdapat golongan wanita yang merelakan perbuatan ini sebagai sumber pendapatan, kerjaya yang professional dan ada yang berpendapat perlakuan ini sebagai ekspresi seni.

Penyelesaiannya, kemuliaan muslimah Islam hanya dapat dikembalikan dengan kembali kepada agama. Jadikan Islam sebagai acuan dalam melakukan setiap perkara, walaupun dalam hal berpakaian.

Sesungguhnya kemuliaan seseorang wanita itu adalah kerana ketakwaannya bukan kerana kecantikan yang tertonjol. Bahkan, amalan budaya Barat yang bertentangan dengan Islam seolah memberi kehinaan kepada diri sendiri.

“Dan hendaklah kamu tetap berada di rumahmu, dan janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti model berhias dan bertingkah lakunya orang-orang Jahiliah dahulu (tabarruj model Jahiliah).”

Al-Ahzab: 33

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Rabiatul Adaweeyah)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan