Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wanita OKU dapat banyak tempahan biskut raya

ANTARA kuih makmur yang diusahakan Izyani Hayati.

 

KOTA KINABALU: Aktiviti harian Izyani Hayati Abbas yang lumpuh separuh badan jauh lebih sibuk berbanding hari biasa bagi menyiapkan tempahan biskut makmur pelbagai perisa, sejak awal bulan ini.

Izyani Hayati, 34, optimis dan tidak mahu rasa rendah diri, sebaliknya terus berdikari memasarkan biskut makmur hasil air tangannya di bawah jenama Makemore Marvelous sejak dua tahun lalu.

Beliau yang berasal dari Tuaran, Sabah, dilahirkan kurang upaya dan tidak boleh berjalan kerana menghidap penyakit Spina Bifida, yakin rezekinya berlipat ganda kerana ramai pelanggan membeli untuk juadah hari raya.

IZYANI Hayati mengusahakan perniagaan kuih makmur pelbagai perisa. – Foto Mohd Nazllie Zainul

 

Izyani Hayati berkata, tempahan biskut makmur diusahakannya dibuka sepanjang tahun, namun pendapatan ketika hari biasa tidak sebanyak seperti menjelang hari raya.

“Pendapatan hari biasa tidak menentu, iaitu kira-kira RM200 sebulan sahaja tetapi ketika Ramadan permintaan biskut makmur meningkat.

“Tahun lalu saya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM800 melalui tempahan biskut makmur pelbagai perisa menjelang Syawal.

“Saya bersyukur dengan rezeki ini, malah ia pemangkin semangat untuk meneruskan perniagaan tanpa putus asa walaupun adakala mengalami pasang surut,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Mengetengahkan tagline My Mom’s Best Cookies, Izyani Hayati berkata, ia diambil sebagai penghormatan arwah ibunya, Rohani Khaji yang mengajar cara menghasilkan biskut makmur.

“Ibu adalah individu yang banyak mengajar saya cara membuat biskut makmur sehingga mendapatkan tekstur dan rasa terbaik.

“Ibu hanya menerima tempahan setiap kali musim perayaan sahaja dan tidak dipasarkan secara serius.

“Sebelum ini cuma ada perisa asli, tetapi kini saya mengolahnya dengan beberapa perisa seperti susu, nescafe, horlicks dan milo,” katanya yang bakal mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan selepas Aidilfitri ini.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang memasarkan produk biskut diusahakannya, wanita yang tidak mengenal putus asa itu berkata, cabaran terbesar sudah tentu batas pergerakan khususnya ketika hendak menghantar tempahan kepada pelanggan.

“Saya bersyukur pelanggan memahami situasi saya walaupun hakikatnya tidak suka membebankan sesiapa.

“Ramai pelanggan terutama yang tinggal di daerah Tuaran atau kawasan berhampiran akan datang sendiri ke rumah mengambil tempahan,” katanya.

Izyani Hayati juga cuba memasarkan biskut ‘alien’ yang kian viral di laman sosial tahun ini sebagai salah satu pembaharuan dalam perniagaan.

Katanya, semua variasi biskut makmur dijual pada harga RM10 bagi 30 biji dan RM20 untuk 55 hingga 65 biji manakala biskut alien dijual pada harga RM20. – Oleh Mohd Nazllie Zainul/BH Online

IZYANI Hayati mengusahakan perniagaan kuih makmur pelbagai perisa. – Foto Mohd Nazllie Zainul

Komen


Berita Berkaitan