Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wanita, Lenturkanlah Jiwa Kerana Taatkan Allah

Gambar Hiasan

 

Saya selalu tertanya pada diri sendiri, mengapa urusan menjadi wanita itu terlalu sulit? Terlalu banyak perkara yang perlu dijaga, emosinya, nalurinya, nafsunya, lidahnya, cara pemikirannya, maruahnya, auratnya, segala-galanya perlu dijaga. Belum termasuk urusan mengandung dan melahirkan anak, kesakitan demi kesakitan. Ah lelaki tidak perlu melalui semua itu. Sedangkan kita jika berfikir dengan akal fikiran waras yang Allah beri,kita tahu sahaja bahawa tanggungjawab lelaki terlalu banyak dan amatlah besar, belum tentu kita mampu memikulnya.

 

Usah Menjadi Hamba Emosi

 

Pembaca yang budiman.

Jika anda seorang wanita, pasti terlalu sering kita mendengar ucapan-ucapan begini;

‘Biasa lah orang perempuan, emosi lebih.’

‘Perempuan, sikit-sikit nak merajuk, sikit-sikit nak marah’

‘Orang perempuan memang mulut laser’

Kuat cemburu, tidak mampu mengawal emosi, selalu marah-marah, dan banyak lagi anotasi negatif yang disandarkan kepada wanita.

 

Sukakah kita dilabel begitu? Nampak seperti wanita adalah makhluk yang tidak mampu mengawal dirnya sendiri, asyik melayan emosi, pentingkan diri, mahu dia saja yang dilayani dengan baik, dia sahaja yang hatinya perlu dijaga. Saya tujukan pada diri saya terutamanya. Saya juga wanita biasa yang sedang belajar. Ada hari saya memarahi diri saya sendiri kerana bersikap sebegitu. Wanita harus kuat, apatah lagi apabila kita memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Allah sangat tidak sukakan hambaNya yang bersikap lemah.  Asyik menurut perasaan, itulah pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia. Kemarahan yang tidak dikawal, cemburu yang melampau, sangkaan-sangkaan buruk, lidah yang menuturkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu. Dari situlah ia akan bermula memporak-perandakan hidup manusia.

Ya benar, para ummahatul mukminin juga ada masanya diuji dengan emosi. Cemburu, marah, merasa tidak cukup dengan pemberian Rasulullah s.a.w. Tetapi lihat kembali, bagaimana Allah dan RasulNya menegur dan mentarbiyah jiwa-jiwa mereka supaya menjadi contoh terbaik buat kita. Belajarlah dari mereka bagaimana menguruskan emosi. Apa yang Allah dan RasulNya tegur, teguran itu kembali kepada kita juga.

Sememangnya ada masa kita akan jadi terlalu tenggelam dengan emosi dan perasaan kerana letih menguruskan kehidupan seharian, menghadapi kerenah anak-anak, belum termasuk hal ehwal tempat kerja lagi, tetapi kita tidak boleh terlalu berharap orang di sekeliling kita datang memujuk dan membelai kita, memahami apa yang kita rasa. Pertama, mereka tidak berada di tempat kita. Kedua, mereka juga punya masalah mereka sendiri. Ketiga, mereka mungkin cuba memujuk dan menenangkan kita tetapi cara mereka tidak mengena lalu kita bertambah durja.

Lantas, yang terbaik adalah meletakkan pengaduan kita hanya pada Allah. Ingatlah ketika Nabi Yaqub a.s berasa terlalu sedih kerana kerinduannya kepada Nabi Yusuf a.s sehingga buta matanya, jatuh sakit jasadnya, namun anak-anaknya yang lain gagal memujuknya;

“Ya’qub menjawab:Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku (iaitu kesusahan besar yang tidak dapat ditahan lagi), dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya”.  – Surah Yusuf ayat ke 86.

 

Bersyukurlah Dengan Kebaikan yang Allah Beri

 

Diriwayatkan dari Imam Ahmad, daripada ‘Abdurrahman bin Syabl r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah hadith sahih:

“Sesungguhnya orang yang selalu melakukan kefasikan adalah penghuni Neraka.”

Dikatakan, “Wahai Rasulullah, siapakah yang selalu berbuat fasik itu?”

Baginda menjawab, “Para wanita.”

Seorang sahabat bertanya, “Bukankah mereka itu ibu-ibu kita, saudari-saudari kita, dan isteri-isteri kita?”

Baginda menjawab, “Benar. Akan tetapi apabila mereka diberi sesuatu, mereka tidak bersyukur. Apabila mereka ditimpa ujian (musibah), mereka tidak bersabar.”

 

Renungi hidup kita, dan hitunglah nikmat dan kebaikan yang Allah hadiahkan kepada kita. Kemudian hisab diri kita kembali, adakah tindakan, kelakuan, amalan kita sehingga saat ini melambangkan diri kita sebagai wanita beriman atau wanita fasiq?

Cermin diri. Kita masih punya jasad yang sihat, pancaindera yang sempurna, dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang penuh kasih sayang, masih punya ruang dan peluang untuk mencari ilmu dunia akhirat dan rezeki serta kerjaya yang halal, meluaskan impian dan cita-cita, tiada yang menghalang sehingga bikin kita kecundang. Bahkan kita dikelilingi orang yang baik-baik, yang sentiasa membangunkan kita, yang sentiasa mengingatkan kita pada kebaikan, sahabat-sahabat teman-teman karib yang tidak menjatuhkan, dan sebagai bonus pula, kita dikurniakan jodoh yang baik, yang memenuhi segala keperluan kita dan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, tidak berputus asa menyayangi dan bersabar dengan kerenah kita, kemudian dikurniakan pula zuriat yang sihat sempurna. Maka nikmat Tuhan yang manakah lagi yang kita dustakan?

Sedang terlalu ramai lagi manusia diuji dengan ujian yang mereka sendiri tidak pinta, Allah memilih kita untuk menerima nikmat kebaikan, apa yang mahu dirungutkan lagi? Mengapa tegar membandingkan apa kelebihan yang kita tidak ada dengan apa yang orang lain ada kemudian mengeluh kerana merasa tidak cukup.

Pernah suatu hari saya mengadu pada suami, bahawa saya ini penuh kekurangan. Memasak hanya tahu sekadarnya saja. Tidak seperti ipar yang lain, pandai memasak kuih muih pelbagai jenis. Tidak juga pandai menjahit, hendak bergaya dengan fesyen dan solekan terkini jauh sekali. Saya mengadu saya merasa tercabar dengan wanita-wanita lain serba boleh di luar sana, lalu berlakulah ‘perdebatan’ antara saya dengan suami, tetap saya mahu menang juga bahawa saya ini tak punya apa-apa untuk dibanggakan.  Di akhirnya suami saya sudah pening kepala tetapi kata-katanya lebih kurang begini menyedarkan saya, “Kalau sendiri yang rasa tak hargai diri sendiri walaupun di mata orang lain kita dah cukup sempurna, memang tak boleh tolong apa dah la sebab semua bergantung pada diri sendiri,” terdiam terus saya. Seperti kata-kata Yusuf al-Qaradhawi, ”Jangan engkau robek hatimu dengan tanganmu sendiri!”

 

Penutup: Taatlah kepada Allah

 

Allah menciptakan wanita dengan sebaik-baik kejadian, dan setiap ciptaan Allah terikat dengan perjanjian untuk taat dan beriman kepadaNya sebaik sahaja roh ditiup ke dalam jasad saat bermulanya nyawa. Wanita yang taat dan wanita yang ingkar sangatlah tidak sama kedudukannya di sisi Allah.

Lantaran itu duhai wanita, apa sahaja yang kita lakukan, lakukanlah kerana ketaatan kita kepada Allah. ‘Struggle’ lah untuk mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah. Kita patuh kepada ibu bapa dan suami dalam perkara-perkara yang syarak, kita tunaikan solat, puasa dan rukun-rukun kewajipan yang lain, kita tutup aurat, menahan diri dari terpengaruh dengan fesyen yang melalaikan, kaawal pergaulan kita dengan lelaki ajnabi, menjaga akhlak kita sesama wanita, semuanya hanya kerana kita taat kepada Allah. Kita keluar menuntut ilmu dan mencari rezeki demi membantu keluarga pun kerana Allah. Bahkan kita bersabar dengan kesakitan-kesakitan yang kita lalui saat hamil dan melahirkan anak, seterusnya saat menyusukan dan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang, juga kerana kita taat dan akur pada ketentuan Allah buat kita wanita.

Wanita yang dicintai Allah, muliakanlah diri dengan iman. Jangan sia-siakan dirimu dengan kekosongan yang tidak diisi dengan hal yang membangunkan jiwa. Kerana kekosongan itulah yang kelak mendatangkan kesempitan hati dan terbukanya laluan untuk godaan dan bisikan syaitan. Jauhkanlah diri daripada dosa dan maksiat, kerana maksiat itu kunci kesedihan hati dan penjemput ketidakbahagiaan jiwa.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Aisyah Zaki)

Komen


Berita Berkaitan