Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wanita cedera dihambat gajah liar

Mangsa, Justina Ompang (kanan) semasa menerima rawatan di Hospital Telupid sebelum dibenarkan pulang pada hari yang sama. - foto ihsan JHLS
Mangsa, Justina Ompang (kanan) semasa menerima rawatan di Hospital Telupid sebelum dibenarkan pulang pada hari yang sama. – foto ihsan JHLS

TELUPID – Jeritan suami seorang wanita berjaya menyelamatkan nyawanya apabila diserang secara tiba-tiba oleh seekor gajah pygmy Borneo liar setinggi tiga meter di Kampung Gambaron, iaitu kira-kira dua kilometer dari Pekan Telupid, di sini, semalam.

Mangsa, Justina Ompang, 57, yang mengalami lebam pada bahagian pinggang akibat dihambat gajah jantan tersebut menggunakan belalainya, menerima rawatan kecemasan di Hospital Telupid dan dikatakan masih trauma akibat kejadian itu, manakala suaminya Khunyan Basimah, 40, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Walau bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius seperti keretan tulang atau cedera dalaman dan dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Menurut Khunyan, insiden itu berlaku ketika mereka baharu saja keluar rumah dalam perjalanan ke tempat kerja kira-kira pukul 6.20 pagi dan keadaan ketika itu masih lagi diselubungi embun, ketika terserempak dengan gajah tersebut di tepi jalan.

Katanya, kebiasaan haiwan itu akan lari masuk ke dalam hutan apabila dihampiri oleh penduduk, namun malangnya pada pagi itu, ia menyerang pasangan tersebut dan menghambat Justina menggunakan belalainya.

Unit Penyelamat JHLS yang bergegas ke tempat kejadian di Kampung Gambaron iaitu lokasi mangsa diserang gajah liar pygmy Borneo. - foto ihsan JHLS
Unit Penyelamat JHLS yang bergegas ke tempat kejadian di Kampung Gambaron iaitu lokasi mangsa diserang gajah liar pygmy Borneo. – foto ihsan JHLS

Jeritan suami mangsa bertujuan untuk mengalih perhatian gajah tersebut berjaya, lantas menyebabkan gajah itu berhenti menyerang wanita berkenaan dan lari meredah hutan berhampiran.

Mengulas mengenai kejadian itu, Penolong Pengarah Hidupan Liar Sabah (JHLS), Dr. Sen Nathan berkata, berlakunya konflik gajah-manusia yang serius di beberapa buah kampung Telupid iaitu Kampung Bauto, Luang Batu, Maliau dan Gambaron untuk tempoh dua bulan ini.

“Terdapat lebih dari 30 ekor gajah dalam empat kumpulan berbeza yang telah menyebabkan kerosakan teruk tanaman dan kenderaan bermotor penduduk kampung. Unit Penyelamat JHLS telah bekerja keras untuk melakukan Operasi Pengawalan Gajah dalam usaha untuk menghalau gajah kembali ke hutan dan melindungi keselamatan penduduk kampung.

“Dengan perkembangan kes terbaru ini, usaha pengawalan gajah akan digantikan serta merta dengan Operasi Penangkapan dan Translokasi Gajah di kawasan berkenaan. Ini akan melibatkan pengeluaran kos yang amat tinggi yang mana kos penangkapan dan translokasi seekor gajah mencecah RM20,000 hingga RM30,000.

“Namun, demi keselamatan penduduk kampung usaha ini sedang dilaksanakan. Punca sebenar permasalahan ini perlu dikaji kerana sekiranya tidak, kumpulan gajah ini pasti akan datang kembali ke kawasan konflik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seorang anggota Unit Penyelamat JHLS menunjukkan lokasi mangsa terbabit diserang gajah pygmy Borneo. - foto ihsan JHLS
Seorang anggota Unit Penyelamat JHLS menunjukkan lokasi mangsa terbabit diserang gajah pygmy Borneo. – foto ihsan JHLS

Sementara itu, Pengarah JHLS, William Baya berkata, beberapa tahun kebelakangan ini konflik manusia-gajah meningkat secara mendadak di kebanyakan habitat gajah di kawasan tengah dan tenggara Sabah yang meliputi daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Tawau, Nabawan dan Pensiangan.

“Kami percaya peningkatan mendadak konflik ini adalah berikutan meningkatnya fragmentasi dan kehilangan habitat yang sesuai, ditambah lagi dengan peningkatan populasi gajah di Sabah.

“Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2008, kita mempunyai kira-kira 2,000 ekor gajah di seluruh\ Sabah. Kita perlu mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini dengan pengurusan lebih terancang ke atas populasi gajah sedia ada serta habitatnya,” ujarnya.

William menambah, translokasi gajah dari sesebuah kawasan konflik bukan penyelesaian mutlak berikutan dokumentasi bukti yang menunjukkan kumpulan atau individu gajah yang sama akan kembali ke kawasan konflik dan menyebabkan lebih banyak kerosakan dan gangguan di kawasan tersebut.

Justeru, katanya, JHLS akan bekerjasama dengan agensi terlibat seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari penyelesaian terbaik kepada permasalahan ini. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan