Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wakil Rakyat Perlu Bantu Penduduk Mohon Bekalan Air Bersih – Pairin

pairin

KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyeru setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen di negeri ini supaya membantu penduduk di kawasan masing-masing mendaftar untuk mendapat bekalan air terawat.

Beliau berkata wakil rakyat perlu membantu penduduk kampung mengisi borang yang disediakan supaya mereka dapat didaftarkan ke Jabatan Air Negeri bagi mendapatkan bekalan air paip bersih.

“Saya merayu kepada ahli-ahli Yang Berhormat supaya mengambil berat keperluan bayaran sambungan paip dan meter untuk membantu pelanggan yang masih belum mengisi borang permohonan kerana ia di luar bidang kuasa jabatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Sabah di sini Rabu.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata beberapa kawasan yang menghadapi masalah bekalan air paip di Sabah bukan berpunca daripada bekalan air tidak mencukupi tetapi disebabkan kegagalan pengguna membuat permohonan serta membayar caj penyambungan paip dan meter.

Beliau berkata kementeriannya mengambil maklum berhubung teguran wakil rakyat di kawasan yang mengalami masalah bekalan air termasuk di kawasan Matunggong, Ulu Sugud dan Kuala Penyu.

Namun, beliau berkata bagi mendapatkan bekalan air paip, pengguna perlu mematuhi beberapa peraturan ditetapkan termasuk membuat bayaran penyambungan paip dan meter berjumlah RM231.

“Kita mahu supaya lebih ramai pelanggan memperoleh sumber air yang disediakan oleh Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan ketiadaan bekalan air bersih di Ulu Sugud sejak tahun 70-an, Pairin berkata proses rawatan air di kawasan itu telah dimulakan pada 2011 dan siap pada 2013, namun ada kalangan penduduk di kawasan berkenaan lebih berminat menggunakan bekalan air sumber graviti berbanding bekalan air paip berbayar.

Beliau berkata setakat ini, 307 bakal pelanggan berada di kawasan itu, namun hanya 38 pelanggan berdaftar dan membayar caj penyambungan manakala selebihnya tidak berbuat demikian walaupun selepas diberi tempoh selama setahun.

Sementara itu, Pairin berkata beberapa alternatif sedang diusahakan termasuk mencari sumber air bawah tanah untuk menambah bekalan air ke kawasan Kota Belud dan sekitarnya berikutan punca air dari Sungai Kadamaian terjejas teruk akibat kejadian gempa bumi pada Jun lepas.

Katanya kebersihan air Sungai Liwagu di Ranau pula sudah mencapai tahap 70 peratus, namun proses bekalan air bersih biasanya akan terjejas semula apabila berlaku hujan yang membawa batu, pasir dan lumpur.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan