Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Wakil rakyat BN tidak terpilih diminta bantu parti

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Foto BERNAMA

 

KUALA LUMPUR: Pertemuan Datuk Seri Najib Razak bersama penyandang kerusi Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) semalam, tidak memuktamadkan pemilihan calon untuk parti itu mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, pada pertemuan itu Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, menyampaikan amanat mengenai kepentingan semua pihak mengutamakan parti demi mencapai kemenangan pada PRU-14.

Beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen BN supaya sentiasa bersedia menerima perubahan menjelang PRU-14, termasuk kemungkinan jika mereka tidak disenaraikan sebagai calon.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata Perdana Menteri juga meminta mereka yang tidak tercalon supaya terus setia dan sentiasa membantu serta menyumbang kepada parti dan rakyat.

“Perdana Menteri mahu perkara itu dijadikan azimat semua Ahli Parlimen kerana apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah kejayaan parti.

“Kami tidak boleh menolak pembaharuan dan jika kelak tidak berjawatan, Perdana Menteri berpesan bahawa pintu parti sentiasa terbuka. BN mempunyai 13 komponen dan kami adalah keluarga yang besar yang mengutamakan kesetiaan ahli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas amanat disampaikan Perdana Menteri dalam pertemuan selama sejam bersama Ahli Parlimen BN di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata Najib dalam amanatnya meminta Ahli Parlimen terus mengutamakan perpaduan dan kekuatan parti.

Katanya, amanat itu sememangnya memberi motivasi kepada semua ahli parlimen (BN) yang hadir.

“Kekuatan dan perpaduan seperti ini tiada pada parti lain. Keistimewaan itulah menjadi faktor rakyat terus memilih BN sejak dulu hingga kini.

“Sebagai penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, saya dan pasukan akan terus bekerja keras bagi memastikan BN akan menang di kerusi parlimen dan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya percaya, dengan komitmen yang diberikan, BN mampu menawan kembali Selangor sekali gus membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-14,” katanya.

Ahli Parlimen Sekijang , Anuar Abdul Manap, berkata Perdana Menteri mengingatkan mana-mana penyandang wakil rakyat BN yang dipilih semula sebagai calon supaya melipat ganda usaha sepanjang tempoh berkempen pada PRU-14.

“Apabila terpilih sebagai wakil rakyat kelak, mereka perlu menambah daya usaha membantu rakyat kerana itu menjadi keutamaan.

“Kepada mereka yang tidak terpilih, Perdana Menteri mengucapkan terima kasih dan berharap mereka terus menyokong dan membantu calon baharu di kawasan yang mereka pernah wakili,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan