Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,640

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Wahai Allah, Turunkan Hujan Untuk Kami Ketika El Nino Ini

7:45pm 04/04/2016 Zakir Sayang Sabah 22 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Kesan El Niño yang kuat ini sudah mula dirasai di negara kita di mana pada bulan Januari 2016 telah mencatatkan rekod baru suhu purata tertinggi untuk Januari bagi Malaysia (mengatasi rekod Januari tahun 1998). Kebanyakan kawasan telah mencatatkan peningkatan suhu antara 0.5°C-2.0°C.

Keadaan ini dijangka boleh berterusan sehingga Mei atau Jun 2016. Selain peningkatan suhu, El Nino yang kuat juga boleh mennyebabkan pengurangan jumlah hujan terutamanya di Sabah dan utara Sarawak serta di utara dan pantai timur Semenanjung hingga April atau awal Mei.

Di atas adalah petikan laporan Pusat Iklim Nasional yang dikemaskini pada 8 Mac 2016.

“Panasnya. Terik betul cuaca hari ni.”
“Iyalah, pening kepala. Tak selesa.”
“Hari-hari mandi peluh, minum air bergelas-gelas pun masih dahaga.”

Sering, dialog ini dituturkan dan setiap kali ia menjadi perbualan tanpa pengakhiran yang jelas. Sebab tiada siapa yang tahu bila hujan akan turun dan menyejukkan bumi.

Lebih utama, kita sudah tidak sanggup melihat anak-anak kecil menangis kerana panas. Kita sudah tidak larat melihat anak-anak mengadu letih atau pulang dengan wajah yang merah kerana menahan kepanasan.

Saya, sebagai seorang penulis mencari maklumat berkaitan fenomena ini dengan satu tujuan. Mahu menghasilkan sebuah karya. Tetapi, semakin banyak yang saya baca, emosi saya semakin terhenyak.

Niat hati yang hanya mahu mencari isi bagi dimasukkan dalam sebuah cerpen sudah tenggelam. Saya jadi kacau, terharu dan kagum.

“Ya Allah, sungguh Engkau Maha Berkuasa.”

Cerita El Nino bukan hal kecil. Setiap hari, kita diingatkan mengenai risiko strok haba. Tetapi, di sebalik kesannya kepada kesihatan, rezeki petani dan nelayan, Tuhan sedang mengajar kita sesuatu.

Sepertilah Allah sedang berkata,

“Hujan itu rezeki. Pemilik rezeki itu adalah Aku.”

Pembacaan saya akhirnya menemukan kepada dua ayat mengenai awan dan hujan. Hebatnya Allah.

“Wahai Allah yang Maha Berkuasa, kasihanilah kami Ya Allah.”

Firman Allah SWT:

“Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis.

Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya;

lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.”Surah An-Nuur 24, Ayat 43

Juga, Allah SWT berfirman:

“Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya.

Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, mereka serta-merta bergembira.”Surah Ar-Ruum 30, Ayat 48

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah berkuasa ke atas hujan. Allah menurunkan hujan menurut kehendak-Nya. Maka, apa yang kita boleh lakukan?

Sebagai manusia dan hamba, kita disuruh berikhtiar.

Di pihak Jabatan Meteorologi Malaysia, mereka berusaha dengan melakukan pembenihan awan. Tujuannya, menggalakkan proses pembentukan titisan-titisan air daripada wap air sehingga mencapai saiz yang cukup besar dan berat dan seterusnya dapat menghasilkan air hujan dari awan yang dibenihkan tadi.

Tetapi, itu usaha pihak berautoriti.

Bagaimana dengan kita?

Apa yang boleh kita lakukan supaya hujan turun sedangkan hal itu dalam kekuasaan Tuhan? Bagaimana kita boleh menjadi orang-orang yang diberitakan sebagai hamba yang yang serta-merta bergembira dalam ayat di atas?

Atas sebab itu, Nabi Muhammad SAW menunjukkan kita cara berserah dan meminta Tuhan menurunkan hujan, iaitu melalui doa.

Seorang sahabat, Tuan Mohd Izwanuddin Abd Rahim berkongsi perkara ini di wall FB beliau:

Doa-Doa Yang Sunnah Diamalkan Ketika Musim Panas Yang Berpanjangan

Ada beberapa doa yang boleh diamalkan. Antaranya :

1. Doa Pertama:

“Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.”Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim

2. Doa Kedua

“Ya Allah turunkanlah hujan yang merata, menyegarkan dan menyuburkan tanaman, bermanfaat dan tidak memberi mudarat, yang datangnya segera dan tidak tertunda.”Hadith riwayat Abu Daud, Ibn Majah, al-Hakim, Ibn Khuzaymah, al-Tabarani, dan lain-lain

Lafaz yang dinyatakan ialah lafaz Abu Daud.

Abu Daud mendiamkan diri terhadap sanadnya. Al-Hakim mengatakan bahawa hadith ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak mengeluarkannya.

Ibn Khuzaymah memasukkan hadith ini dalam Sahih Ibn Khuzaymah yang menunjukkan bahawa hadith ini sahih di sisi beliau. Syu‘aib al-Arnaut dalam tahqiqnya terhadap Sunan Ibn Majah menilai hadith ini sebagai sahih.

3. Doa Ketiga

“Ya Allah, turunkanlah hujan kepada hamba-Mu, dan haiwan-haiwan ternakan, cucurilah rahmat-Mu, dan suburkanlah bumi-Mu yang tandus.”Hadith riwayat Malik dan Abu Daud

Syu ‘aib al-Arnaut berpendapat bahawa isnadnya sahih.

Semoga Allah mengasihani kita. Amin.

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Siti Rahmah Mokhtar)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan