Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,647

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UTC Mercu Tanda Baharu, Lonjak Status Bandar Tawau

3:05pm 14/09/2016 Pak Roshan 299 views Berita Pilihan,Mutakhir,Tawau,Tempatan

UTC

TAWAU – Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang mula beroperasi pada 15 Ogos lalu di sini adalah mercu tanda baharu bandar Tawau selain transformasi signifikan dalam memudahkan urusan rasmi masyarakat dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam masa lebih singkat di bawah satu bumbung.

Ini berikutan UTC Tawau yang menempatkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Air itu beroperasi setiap hari mulai 8 pagi hingga 9 malam kecuali pada cuti umum dan cuti peristiwa.

Seorang penduduk Nasrul Wahidin, 24, berkata UTC Tawau banyak memberi manfaat dan kelebihan kepada penduduk di bandar itu kerana mereka hanya perlu tertumpu kepada satu tempat sahaja dalam menguruskan hal-hal rasmi berkaitan kerajaan seterusnya menjimatkan masa dan kos mereka.

“Selain daripada itu, penduduk terutama para kaum ibu juga boleh terus pergi ke pasar membeli barang keperluan selepas berurusan,” kata pemuda yang menetap di Tanjung Batu itu kepada Bernama baru-baru ini.

UTC Tawau yang dahulu dikenali sebagai Pasar Tanjung diubah suai pada Mei lalu dan kini telah menjadi kompleks bersepadu yang menempatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain turut merangkumi pasar di bahagian bawah bangunan.

Seorang peniaga di Pasar Tanjung, Nancy Nurdin, 28, berkata UTC Tawau yang berada dalam bangunan sama tempat dia berniaga akan memudahkannya kelak jika terdapat urusan penting yang perlu diselesaikan segera tanpa perlu meninggalkan gerai jualan dalam tempoh lama.

Noraidah Salleh, 56, yang turut berniaga di pasar berkenaan melihat UTC tidak hanya memudahkan urusan rasmi orang awam malah ia menjadi penarik untuk mereka berkunjung ke pasar selepas selesai berurusan.

Sementara itu, pekerja swasta Muliyadi Muslimin, 30, menyifatkan UTC Tawau sebagai pembaharuan dibawa kerajaan yang sangat inovatif sekali gus melonjakstatus bandar Tawau ke arah lebih terkini dan efisien.

“Saya melihat bandar Tawau akan lebih sistematik kerana semua jabatan kerajaan berada di bawah satu bumbung dan ia memudahkan penduduk berurusan memandangkan jarak antara pejabat kerajaan sebelum ini di lokasi berlainan.

“Tambahan pula, lokasi UTC itu juga menjadi tumpuan bukan sahaja orang Tawau tetapi juga orang dari luar daerah kerana ada Pasar Tanjung dan ini sekali gus memberi satu persepsi terhadap kemajuan Tawau,” katanya.

Pandangan sama diberikan Sobariah Abdul Rahman, 22, yang berkata UTC adalah pusat sehenti yang bukan sahaja memudahkan masyarakat di Tawau tetapi juga beberapa daerah berhampiran termasuk Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

“Ini bermaksud kewujudan UTC Tawau turut memberi manfaat kepada penduduk dari daerah berhampiran,” katanya.

Sobariah turut melahirkan rasa bangga kerana Tawau, bandar ketiga terbesar di Sabah yang terletak kira-kira 555 kilometer dari Kota Kinabalu, semakin berkembang pesat selain jolokan bandar itu sebagai bumi peladang.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlu membuat penambahbaikan termasuk membina lebih banyak tempat letak kereta di sekitar bangunan UTC agar pergerakan kereta lebih lancar dan teratur seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas.- BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan