Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Usahawan wanita buktikan mampu berjaya

USAHAWAN BERJAYA... Azharee (kiri) bersama ibunya Puan Noreen menunjukkan kuih cincin keluaran syarikat mereka. - Foto SAYANGSABAH
USAHAWAN BERJAYA… Azharee (kiri) bersama ibunya Puan Noreen menunjukkan kuih cincin keluaran syarikat mereka. – Foto SAYANGSABAH

KOTA KINABALU – Kuih cincin merupakan sebagai salah satu jenis makanan ringan tradisional Sabah yang popular di kalangan pelancong asing dan rakyat tempatan.

Makanan ringan tersebut senang diperoleh berikutan terdapat ramai peniaga kecil yang menjual produk tersebut sama ada di pasar ataupun tamu mingguan.

Menyedari potensi besar makanan ringan itu di pasaran tempatan, usahawan wanita Noreen Anne mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan memproses dan mengedar kuih cincin secara kecil-kecilan di rumahnya.

Hari ini, beliau telah membuktikan bahawa perniagaan yang bermula di belakang rumah itu, boleh dikembangkan malah sehingga ke peringkat antarabangsa dengan tertubuhnya Heera Food Industries Sdn Bhd berkat usaha gigih dan semangat untuk terus maju ke hadapan.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, beliau kemudian membuka sebuah kilang pembuatan makanan terletak di Lot 6, Kompleks Kilang SME Bank, Lok Kawi Industrial Estate di Kinarut, dekat sini.

Noreen yang juga Pengarah Operasi syarikat berkata, dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kilangnya merupakan pengeluar tunggal produk kuih tradisional di negeri ini.

“Namun, Heera Enterprise terpaksa bersaing dengan industri kampung yang turut menghasilkan makanan ringan sama seperti ini tetapi mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah berbanding syarikat kami yang beroperasi di sebuah kilang,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian kilangnya di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Sementara itu, Pengarah syarikat Azharee Hamed berkata, kuih cincin yang dihasilkan oleh kilang mereka berbeza serta unik berbanding produk lain di pasaran.

“Produk keluaran kami menggunakan pembungkusan yang mengikut standard antarabangsa serta mempunyai sijil logo halal,” katanya sambil menambah bahawa ia bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di luar negara.

“Apa yang membuat kuih cincin keluaran kilang kami unik kerana bahan mentah yang digunakan adalah gula yang diekstrak daripada nipah yang kemudian dicampurkan dengan gula perang dan tepung beras,” katanya lagi.

Beliau berkata, adunan tersebut seterusnya menghasilkan kuih cincin yang sedap dan rangup tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna tambahan.

Selain kuih cincin, Heera Food Industries turut menghasilkan makanan ringan tradisional lain termasuk Kuih Lidah, Pisang Manis & Masin serta sos perisa Sambal Popia Ikan Bilis dan Sos Cili Padi.

Produk yang dihasilkan oleh syarikat tersebut kini dijual di pasaran tempatan dan juga luar negara.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

 

Komen


Berita Berkaitan