Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Usaha kurangkan gangguan elektrik di Sabah dikurangkan

ongkili sesb

MATUNGGONG – Kerajaan terus berusaha untuk mengurangkan gangguan bekalan eletrik di Sabah, meskipun ia sedikit terjejas ekoran kejadian `bergelap’ melibatkan seluruh daerah di negeri ini awal tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, situasi bekalan elektrik di negeri ini dijangka bertambah baik apabila dua stesen janakuasa utama di Kimanis mula beroperasi nanti.

Menurutnya, dua stesen janakuasa tersebut ialah Stesen Janakuasa SPR Energy berkapasiti 100 megawatt (MW) dan Stesen Janakuasa Kimanis Power berkapasiti 285MW.

“Ia sedikit terjejas pada tahun ini akibat kejadian gangguan bekalan elektrik pada 17 Januari lalu yang telah mengakibatkan implikasi Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) sebanyak 250 minit/pengguna/tahun dan melibatkan hampir seluruh daerah di negeri ini.

“Ini telah menjejaskan sasaran kita bagi SAIDI bagi setiap pengguna/minit bagi tahun 2014. Walau bagaimanapun, situasi bekalan elektrik di negeri Sabah dijangka akan bertambah baik setelah dua stesen janakuasa utama di Kimanis mula beroperasi.

“Kedua-dua stesen jana kuasa ini dapat memberikan margin harian di antara 150 hingga 220 MW bagi Sistem Grid Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Pencawang Masuk Utama (PMU) Matunggong di Kampung Pinawantai, di sini semalam.

Maximus berkata, kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan sebanyak RM1.8 billion bagi tempoh tiga tahun yang akan datang untuk menambah baik komponen penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik.

Katanya, pembinaan PMU Matunggong dapat meningkatkan keupayaan SESB untuk menyalurkan bekalan elektrik yang lebih stabil kepada pengguna-pengguna di sekitar kawasan daerah kecil Matunggong.

Tambah beliau, projek yang telah dimula tugas sepenuhnya pada 26 Januari 2011 ini dapat menyalurkan bekalan elektrik kepada 2,809 pengguna daripada sektor domestik, komersil dan industri.

Jelas beliau lagi, apabila ia beroperasi sepenuhnya, ia juga akan dapat menampung keperluan bekalan elektrik seharian di Loji Rawatan Air milik Jabatan Air Kudat.

Projek yang bernilai RM16.8 juta itu menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Skop projek ini melibatkan pemasangan kapasiti transformer (alatubah) iaitu 15MVA atau 13 MegaWatt (MW) dan pembinaan bangunan pencawang masuk utama (main substation building) yang lengkap.

Projek ini juga meliputi pemasangan peralatan komunikasi (communication equipment) dan sistem kawalan (telecontrol) di mana operasi kawalan (switching operation) boleh dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Beban (Load Despatch Centre), Kota Kinabalu.

“Faedah ketara projek ini adalah dengan penambahan kapasiti sebanyak 2.8MW kepada beban permintaan sedia ada, iaitu sebanyak 15MW, dapat dibekalkan tanpa masalah lebihan beban (overload) di samping menggalakkan pertumbuhan sektor domestik dan komersil di Daerah Kecil Matunggong.

“Infrastuktur baru ini dijangka dapat menampung beban permintaan bekalan elektrik di sekitar Daerah Kecil Matunggong sehingga tahun 2034,” ujarnya.

Dengan pemasangan peralatan komunikasi dan sistem kawalan ini maka sistem pemantauan bekalan elektrik di pencawang ini akan menjadi lebih cekap, dan sekiranya kejadian terpelantik (tripping) berlaku kadar masa pemulihan bekalan elektrik adalah lebih pantas berbanding sebelum ini.

“Sistem perlindungan yang dipasang telah dapat mengasingkan lebihan beban (overload) dengan lebih pantas dan kejadian gangguan bekalan elektrik di Daerah Kecil Matunggong dapat diminimakan sebaik mungkin.

“Selaku utiliti tenaga yang dipertanggungjawabkan, SESB sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kualiti bekalan elektrik di Negeri Sabah dan seterusnya memastikan pelanggan-pelanggan dapat menikmati bekalan elektrik yang berdaya harap,” jelasnya.

Komen


Berita Berkaitan