Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Usaha, Kerana Kita Tidak Tahu.

11:41am 07/10/2016 Zakir Sayang Sabah 41 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Satu hari, ada manusia bertanya kepada saya. Pertanyaannya berkaitan qada’ dan qadar.

Katanya, Allah telah menetapkan segala sesuatu semenjak azali lagi. Telah ditetapkan sama ada orang itu kafir atau tidak. Sudah ditetapkan akhirnya manusia itu di syurga atau di neraka. Sudah ditetapkan sama ada orang itu miskin atau kaya. Sudah ditetapkan sama ada orang itu bahagia atau merana.

Jadi, kalau sudah ditetapkan semua itu, apa gunanya kita berusaha?

Kalau anda disuakan persoalan ini, apakah agaknya jawapan anda?

Semasa menjalani bab Beriman kepada Qada’ dan Qadar dalam pembelajaran Madkhal Ila Aqidah di University of Yarmouk, pensyarah yang mengajar mata pelajaran ini, Dr Samirah Tohir telah disoal dengan soalan yang sama.

Awalnya, dia hanya senyap. Diberikan ruang kepada pelajar-pelajar lain untuk memberikan pandangan mereka.

Ramai yang cuba menjawab dengan teori dan akal fikiran masing-masing. Tidak kurang juga yang cuba membangkitkan perbahasan ulama’ berkenaan tajuk Qada’ dan qadar.

Apabila semua pelajar sudah menyuarakan pendapat masing-masing, Dr Samirah Tohir mengambil marker pen, dan bergerak ke papan putih, seterusnya menulis kalimah arab yang bermaksud:

“Aku berusaha kerana aku tidak mengetahui”

Saya yang ketika itu sedang berfikir-fikir mencari jawapan yang sesuai, terus rasa kagum.

Ya. Kita beramal, kerana kita sebenarnya tidak tahu apakah yang telah Allah tetapkan kepada kita. Di nerakakah? Di syurgakah? Bahagiakah? Meranakah? Kayakah? Miskinkah? Kita ini mati dalam keadaan kufurkah? Kita ini mati di dalam imankah? Kita tidak tahu apa-apa berkenaan natijah yang akan kita perolehi. Jangan kata penghujung hidup, hari esok pun kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada kita.

Justeru, kita berusaha, memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita.

Kita sendiri tidak tahu, bagaimana penetapan Allah itu. Apakah sistem yang digunakan oleh Allah SWT dalam hal ini. Hal qada’ qadar Allah ini tersimpan kemas dari pengetahuan sesiapa, hatta para malaikat sendiri pun tidak mengetahuinya. Ilmu ini hanya wujud di sisi Allah sahaja. Dan tiadalah kita ini dikurniakan ALLAH ilmu, melainkan sedikit sahaja.

  “…dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” Surah Al-Isra’ ayat 85.

Kita tidak tahu banyak perkara, tambahan, perkara-perkara ghaib seperti penetapan qada’ qadar Allah SWT ini, perkara masa hadapan dan sebagainya.

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” Surah Al-An’am ayat 59.

Kenapa mesti kita risau dengan perkara yang memang kita tidak akan dapat mengetahuinya? Bukankah lebih baik kita jalani kehidupan kita dengan baik dan melorongkan kehidupan kita ke arah apa yang Allah redha?

Berbanding risau kita ini sudah ditetapkan mati dalam beriman atau tidak, dimasukkan ke dalam syurga atau tidak, kita ini hidup bahagia atau tidak, kita ini hidup kaya atau tidak, bukankah lebih baik kita mencari apa yang Allah redha dan tidak, seterusnya menghidupkan kehidupan kita dengan kehidupan yang terbaik di bawah redhaNya?

Tambahan, banyak dalil Allah SWT menyatakan bahawa kebaikan dan keburukan dalam kehidupan manusia itu adalah pilihan manusia sendiri.

“Tiada paksaan di dalam agama, sesungguhnya telah jelas antara yang benar dan jalan yang sesat. Barangsiapa yang mengingkari taghut(kejahatan) dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang teguh dengan tali yang sangat kuat dan tidak putus. Dan Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui” Surah Al-Baqarah ayat 256.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

“Maha Suci Allah yang menguasi segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang Menciptakan Mati dan Hidup untuk menguji siapa antara kamu yang terbaik amalannya, dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” Surah Al-Mulk ayat 1-2.

“Apakah manusia itu mengira mereka akan dibiarkan berkata: Kami beriman’ sedangkan mereka masih belum diuji?”  Surah Al-Ankabut ayat 2.

Lihat. Hidup kita ini ada pilihannya. Allah memang mengetahui apa pengakhiran kita. Tetapi apakah sama pengetahuan Allah dengan pengetahuan kita? Di tangan Allah jugalah segala keputusanNya. Kita hanya berusaha, bergerak mencari redhaNya.

Justeru usah kita risau berkenaan apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Masa hadapan yang kita tidak jelas dengannya. Masa hadapan yang kita tiada ilmu mengenainya. Maka, risaulah dengan apa yang tersedia di hadapan kita masa sekarang. Kehidupan yang sedang berjalan untuk kita isi, dan perintah-perintah Allah untuk kita laksanakan sebagai tanda ketaatan kita kepada Ilahi.

Yakinlah bahawa Allah tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Yang berusaha akan mendapat natijahnya. Baik buruk adalah berdasarkan amalan kita. Yang melakukan kebaikan dijanjikan dengan kebaikan. Yang beramal kejahatan dijanjikan pembalasan atas keburukan.

   “Dan barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah, maka tetap akan dihitung” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.

Dan Allah itu tidak memungkiri janjiNya.

Syukur kepada Allah yang menggerakkan hambaNya bernama Samirah Tohir itu mengungkap kalimah sedemikian besar maknanya kepada saya. Ya, kita beramal, kerana kita tidak tahu berkenaan pengakhiran kita. Kita tidak tahu bagaimanakah Allah menetapkan kehidupan kita. Maka, kehidupan yang sedang berjalan inilah kita isi dengan kebaikan-kebaikan, usaha-usaha untuk masa hadapan yang kita suka.

Dengan sangka baik kepada Allah, insyaAllah kita akan mendapat kebaikan.

Mari sama-sama kita mengisi kehidupan dengan kebaikan.

Jangan lepaskan peluang.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan