Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UPPM Karambunai nafi dakwaan kerajaan tidak beri bantuan

11:58am 22/09/2016 Elezebeth Esther Onjining 60 views Kota Kinabalu,Tempatan
Haji Manjah Hj Awang Bahar

Haji Manjah Hj Ag Bahar

KOTA KINABALU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Karambunai menafikan dakwaan bahawa tiada tindakan diambil oleh Kerajaan untuk menyediakan penempatan tetap kepada penduduk kampung yang dipindah bagi memberi laluan kepada pembinaan pangkalan Tentera Laut Sepanggar.
PPM Karambunai Haji Manjah Ag Bahar berkata, dakwaan oleh pihak tidak bertanggungjawab khususnya Jawatankuasa Pengurusan Tanah Kampung yang menceroboh tanah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Menggatal adalah tidak berasas.

Katanya, penduduk dari tiga buah kampung iaitu Kampung Sabang, Kg. Lok Butah dan Lok Madas yang terlibat dengan pembinaan pangkalan itu telah dipindah secara berfasa ke penempatan yang disediakan kerajaan.

Menurutnya, fasa pertama penduduk Kampung Sabang telah dipindah ke penempatan Kampung Numbak I. Manakala fasa ke II melibatkan penduduk dari Kg Lok Butah dan Lok Madas dipindah ke penempatan Kampung Numbak II. Mereka yang terlibat dengan pemindahan juga dibayar pampasan.

“Pada mulanya mereka ditawarkan di kawasan tanah yang kini milik DBKK di Menggatal yang jauh dari kawasan tepi pantai. Memandangkan kebanyakan penduduk terlibat adalah golongan nelayan, maka mereka bersetuju dan memilih menetap di kawasan tanah berdekatan tepi laut iaitu penempatan Kampung Numbak I dan Kampung Numbak II sehingga sekarang.

“Justeru tuduhan oleh penceroboh dan peneroka tanah milik DBKK di Menggatal bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak membina penempatan untuk mereka yang dipindahkan dari Kampung Sabang, Kg. Lok Butah dan Lok Madas adalah tidak berasas dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak prihatin.

“Mereka (penceroboh) sengaja menggunakan alasan itu untuk menceroboh tanah DBKK seluas 10 ekar itu. Sebenarnya mereka yang dipindah telah ditempatkan dengan baik oleh kerajaan”, katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas tuduhan peneroka yang menceroboh dan mendirikan struktur haram atas tanah DBKK di Menggatal yang mendakwa tiada tindakan diambil kerajaan setelah mereka dipindah kerana memberi laluan kepada pembinaan Pangkalan Tentera Laut Sepanggar seperti yang disiarkan di media massa.

Pihak DBKK pada 14 September 2016 telah mengambil tindakan merobohkan struktur haram yang didirikan walaupun pada mulanya mendapat tentangan daripada peneroka.

Walau bagaimanapun kerja-kerja perobohan berjalan lancar setelah hampir satu jam perbincangan antara pegawai-pegawai DBKK dan beberapa peneroka serta Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris yang turut hadir.

Haji Manjah berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri telah menyediakan penempatan yang teratur termasuk rumah dan kemudahan asas yang diperlukan. Penempatan yang disediakan oleh Kerajan lebih baik daripada keadaan tempat asal penduduk.

Menurutnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dengan mengambil inisiatif menyediakan penempatan baru dan rumah kepada mereka yang terlibat.

Mengenai dakwaan Jumat bahawa pegawai menyembunyikan fakta termasuk status tanah yang diceroboh, Manjah berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana telah dibincangkan  dalam Mesyuarat Penggunaan Tanah (LUC) yang turut dihadiri oleh Jumat.

“Soal menyembunyikan fakta atau pihak tertentu tidak memaklumkan MP tidak berbangkit kerana tanah itu telah ditawarkan kepada DBKK pada tahun 2014 dan jika Jumat membuat penyelidikan sendiri dan ada bertemu dengan PPHT pasti beliau ketahui status sebenar tanah itu.

Manjah berkata, pada awal tahun ini beliau ada menerima aduan daripada penduduk Kampung Numbak mengenai aktiviti pencerobohan dan penjualan lot-lot kawasan tanah milik DBKK itu oleh beberapa orang individu.

Katanya, pengadu telah memaklumkan individu tersebut telah menggunakan nama pemimpin politik termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid dan Jumat untuk meyakinkan masyarakat dan orang ramai bahawa mereka diberi kuasa penuh untuk menjual lot-lot tanah milik DBKK itu.

Manjah berkata, pada Februari 2016 Jainab telah memaklumkan pengadu bahawa beliau tidak pernah memberi kuasa kepada sesiapa pun untuk menjual lot tanah itu dan menegaskan sebagai Wakil Rakyat, beliau tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohanan tanah berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan aduan yang diterima jelas bahawa terdapat individu tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan menjual lot-lot tanah di kawasan yang dahulunya untuk tapak penampatan, tetapi yang kini telah menjadi milik DBKK.

Mengenai dengan dakwaan  Matnul Madhaltar yang bersama pembantunya Marzuki Utuhman bahawa tanah yang diceroboh itu adalah tanah yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan, seperti yang disiarkan oleh akhbar Sabah Times (21 September) Manjah  berkata dakwaan itu tidak benar.

“Seingat saya Kementerian Pertahanan tidak pernah menyediakan kawasan tanah untuk perkampungan Kg. Sabang, Lok Butah dan Lok Madas,” jelasnya.

Manjah mendakwa, Matnul adalah salah seorang yang turut terlibat secara langsung dalam kes pemindahan Kg. Sabang, termasuklah kontraktor pemindahan perkuburan yang dianggarkan 1,000 buah pada masa itu.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap masyarakat di Karambunai dan rakyat keseluruhannya faham apa sebenar yang berlaku, dan tidak terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang sengaja dibuat  oleh sesetengah pihak yang bertujuan memburukkan  nama baik Kerajaan BN”, tambahnya.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan