Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UPKO sokong kempen SID

10:26pm 24/02/2016 Ann Vivien 56 views Politik,Tempatan
Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO Felix Joseph Saang

Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO Felix Joseph Saang

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menyokong penuh kempen Safer Internet Day (SID) untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya pengguna internet mengenai keselamatan penggunaan internet secara berhemah.
Pengerusi Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO Felix Joseph Saang berkata, SID mampu memberi kesedaran tentang kepentingan keselamatan dan kesejahteraan di kalangan pengguna media sosial terutamanya kanak-kanak dan remaja.
“Golongan remaja atau generasi muda perlu didedahkan mengenai penggunaan internet berhemah agar mereka lebih bertanggungjawab apabila menggunakan teknologi dan aplikasinya serta gajet digital seperti telefon pintar,” katanya di sini, kelmarin.
Felix berkata, kempen SID diterajui oleh CyberSecurity Malaysia dibawah agensi Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi, merupakan kempen mempromosikan keselamatan dan kesejahteraan internet serta meningkatkan kesedaran pengguna internet.
“Oleh itu saya menyokong penuh kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia harus membudayakan penggunaan internet dan teknologi secara berhemah dan beretika,” katanya.
Katanya lagi, dengan adanya kempen atau program seperti SID yang dilaksanakan oleh kerajaan, maka negara boleh melahirkan lebih ramai pengguna Internet yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai keselamatan internet.
Selain itu katanya ia dapat meningkatkan pemahaman mengenai isu-isu semasa berkaitan keselamatan siber serta jenis-jenis ancaman media sosial masa kini.
“Terdapat banyak isu keselamatan siber yang melanda negara pada masa kini, antaranya spam, penipuan ‘fraud’, pencerobohan, kod jahat, ‘Cyber harassment’ dan banyak lagi,” katanya.
Sehubungan itu Felix berharap kempen SID dapat mengubah tingkah laku pengguna media sosial di Malaysia supaya lebih bijak dan sentiasa berwaspada dengan ancaman keselamatan siber serta tahu menjaga diri ketika berada di media sosial atau alam siber.
“Biro Komunikasi dan Multimedia UPKO yakin CyberSecurity Malaysia akan mengadakan lebih banyak program kesedaran melalui kempen SID pada masa akan datang, terutamanya di Sabah dan Sarawak dimana ancaman internet dan media sosial sudah mula menular,” katanya.- Oleh Monica Gidong/Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan