Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UPKO mahu satu kerusi tambahan DUN di Kota Belud

Ewon (empat dari kanan) bersama Abdul Rahman, Madius, Musbah dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang hadir pada majlis itu - foto Monica Gidong
Ewon (empat dari kanan) bersama Abdul Rahman, Madius, Musbah dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang hadir pada majlis itu – foto Monica Gidong

KOTA BELUD – Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun (UPKO) Bahagian Kota Belud mencadangkan supaya satu kerusi tambahan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Belud dalam persempadanan pilihan raya yang baharu.

Ketua Bahagiannya, Ewon Benedick berkata, parti itu sudah menghantar cadangan penambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2001 dan sekali lagi pada 2013.

“UPKO telah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa persempadanan pilihan raya harus menggambarkan komposisi kaum di Sabah sejajar dengan semangat penubuhan Malaysia yang memberikan kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak tidak kurang daripada 34 peratus.

“Di Sabah, perlu ada keseimbangan pecahan kerusi di kalangan Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Bukan Bumiputera. Sebarang perubahan sempadan pilihan raya di Kota Belud harus mengambilkira faktor ini. UPKO Kota Belud mahu sekurang-kurangnya satu kerusi campuran diwujudkan di sini,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Krismas UPKO Kota Belud di Kampung Kaung Malaan, Kadamaian, di sini hari ini.

Ewon yang juga Ketua Komulakan UPKO berkata, menerusi cadangan itu kawasan DUN Kadamaian dibahagikan kepada dua kawasan DUN baharu dengna beberapa daerah mengundi di Tempasuk dan Usukan disatukan dalam kawasan baru tersebut.

“Setahu saya, PBS juga telah mengemukakan cadangan yang hampir serupa. Rakyat harus mendapat manfaat daripada persempadanan semula ini. Ini kerana, Kota Belud adalah sebuah kawasan yang besar dan mempunyai banyak isu pembangunan fizikal. Inilah justifikasi kepada keperluan mewujudkan sekurang-kurangnya satu kawasan baru DUN supaya jentera penyampaian kerajaan dapat diperkasakan,” ujarnya,

Menurut Ewon lagi, semua parti komponen harus diberikan peranan dalam kawasan-kawasan baru sesuai dengan pelaksanaan perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN).

“UPKO Kota Belud telah terbukti berkesan dalam mewakili aspirasi rakyat di sini walaupun tidak mempunyai Wakil Rakyat ketika ini. Selayaknya kami diberi peluang seperti mana kami menawarkan perkhidmatan pelayanan kepada rakyat,” katanya.

Ewon berkata, UPKO Kota Belud akan terus menjadi wadah kepada aspirasi rakyat bukan sahaja dalam isu-isu pembangunan fizikal, tetapi juga isu-isu sosial dan hubungan kaum. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan