Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UPKO Bersedia Tawan Semula Kerusi Parlimen, Negeri Di Penampang Untuk BN

PENAMPANG – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bersedia untuk memenangi semula kerusi Parlimen Penampang dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu untuk Barisan Nasional (BN).

Pemangku Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata BN Penampang kini serik menjadi pembangkang di kawasan Parlimen itu selama hampir lima tahun sejak gagal mempertahankan kerusi Parlimen dan kerusi DUN Moyog dan Kepayan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

“Kita (BN) menjadi ‘pembangkang’ di Penampang, tetapi kitalah yang sentiasa memberi khidmat kepada rakyat di kawasan ini. Betapa rindunya kita menjadi wakil rakyat di sini. Kita mesti yakin untuk menang dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menang,

“Jangan sesekali percaya pembangkang akan menang pada PRU14,” katanya ketika melancarkan Jentera PRU14 UPKO Penampang di sini hari ini.

Pada PRU13, Presiden Kehormat UPKO Tan Sri Bernard Dompok tewas kepada calon PKR, Darell Leiking dalam merebut kerusi Parlimen Penampang.

Kerusi DUN Moyog pula gagal dipertahankan oleh setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin yang kalah kepada Terrence Siambun atas tiket PKR, manakala Datuk Edward Khoo dari MCA tewas kepada calon DAP Dr Edwin Bosi dalam merebut kerusi DUN Kepayan.

Leiking kini Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Siambun turut beralih kepada Warisan, manakala Bosi beralih kepada Parti Anak Negeri.

Tangau, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, turut berkata Bosi pernah berjumpa dengannya dan memuji kerja UPKO dan menyatakan minat untuk menyertai parti komponen BN itu namun memberi syarat untuk menganggotai UPKO serta dicalonkan semula untuk kerusi DUN Kepayan.

“Tetapi saya memberitahu yang kerusi Kepayan adalah milik MCA dan UPKO tidak berhak untuk merampasnya,” katanya sambil menasihati anggota parti supaya tidak keliru dengan hasutan dan isu yang dimainkan oleh pembangkang.

Katanya, pembangkang sentiasa menghadapi konflik, termasuk dalam menentukan calon ketua menteri jika diberi mandat untuk menerajui kerajaan negeri.

“Undi sahaja BN kerana sudah pasti ketua menteri adalah anggota BN iaitu Tan Sri Musa Aman.

Untuk calon perdana menteri pula, sudah tentu Datuk Seri Najib Tun Razak. Pembangkang pula mahu seorang pemimpin yang telah berusia 93 tahun,” katanya.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan