Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UNDUK NGADAU PROMOSI AKINABALU

Christina dipakaikan Pinakol (kalung manik kaum Rungus) oleh Hosiani dan Joanna. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Unduk Ngadau 2018, Hosiani James Jaimis akan mengetuai cabaran mendaki Gunung Kinabalu pada 12 Ogos ini sebagai sumbangan Unduk Ngadau Kaamatan Negeri mempromosikan Tapak Warisan Dunia itu.

Pada pendakian itu, Hosiani, 25 akan ditemani oleh naib johan Unduk Ngadau 2018, Sherrylyn Jane Rannytho, pengerusi penganjur Unduk Ngadau Kaamatan Negeri, Joanna Datuk Kitingan dan beberapa orang ahli jawatankuasa beliau.

Usaha ini mendapat pujian daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Christina Liew semasa mereka membuat kunjungan hormat di pejabat beliau hari ini.

Christina berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha murni ini yang sudah tentunya akan mempromosikan Gunung Kinabalu dan secara langsung industri pelancongan Sabah.

Christina (tiga dari kanan) bersama dengan Hosiani (empat dari kiri) Joanna (dua dari kanan) danSUT Kementerian Datuk Rusmadi Sulai (dua dari kiri). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Program mendaki Gunung Kinabalu untuk Hosiani kali ini akan dibiayai oleh Taman-Taman Sabah.

Acara pendakian akan disempurnakan oleh Christina sendiri pada 12 Ogos nanti di Timpohon Gate.

Christina juga mengumumkan bahawa Kementerian beliau akan mengikhtiraf Unduk Ngadau Kaamatan Negeri sebagai Duta Kebudayaan dan Warisan Pelancongan Sabah.

Tambah beliau lagi, sebagai Duta, Ratu Unduk Ngadau Negeri akan dijemput untuk turut serta dengan Lembaga Pelancongan Sabah dalam acara mempromosi industri pelancongan Sabah.

Semasa ditemui pemberita, Hosiani mengaku belum pernah lagi mendaki Gunung Kinabalu oleh itu beliau sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan untuk pendakian nanti.

Hosiani berkata semasa zaman sekolah beliau merupakan seorang pelari pecut namun sudah agak lama beliau tidak membuat aktiviti yang agak lasak.

“Sekarang saya berlatih di gym dan jogging hampir setiap pagi. Harap semua ok saja nanti,” kata Hosiani.

Sementara itu, Joanna yakin Hosiani mampu menempuh cabaran ini

“Inilah sebenarnya erti menjadi Unduk Ngadau Kaamatan. Ia bukan hanya mengenai kecantikan tetapi menyelami semangat Huminodun dan senantiasa bersedia untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Semasa kunjungan hormat itu, Joanna juga memohon supaya Kementerian Christina dapat mengikhtiraf buku tentang pakaian tradisi yang dipakai oleh peserta Unduk Ngadau Kaamatan apabila siap nanti.

Proses kompilasi buku tersebut masih lagi berjalan dan pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Sabah serta Muzium Negeri, katanya sambil menambah ini adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk memulihara warisan kebudayaan kita.

Menurutnya, mereka berharap buku tersebut dapat disiapkan menjelang bulan Kaamatan tahun depan. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan