Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UMS tingkat kecemerlangan dalam pelbagai bidang

Mohd Harun (kiri) menerima cenderakenangan daripada Dekan Fakulti Seni, Warisan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan. - foto Monica Gidong
Mohd Harun (kiri) menerima cenderakenangan daripada Dekan Fakulti Seni, Warisan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan. – foto Monica Gidong

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus mempertingkatkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta pencapaian di peringkat antarabangsa.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, ia sejajar dengan falsafah pendidikan negara untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Beliau berkata, pendidikan di negara ini merupakan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Kita harus mengembangkan potensi individu secara seimbang dari segi rohani dan jasmani. Kita bukan sahaja melahirkan rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi tetapi juga berakhlak mulia dan berintegriti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Sistem Pendidikan Negara Dalam Melahirkan Golongan Bijak Pandai Global di Negeri Sabah dalam Seminar Sabah Dalam Konteks Pembangunan Sosioekonomi, di Dewan Resital UMS, di sini hari ini.

Mohd. Harun berkata, pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal sosial, ekonomi negara serta pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya.

Sehubungan itu katanya kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Porgram Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.

“Sebagai sebuah universiti yang diwujudkan menerusi harapan dan impian rakyat Sabah, UMS menjadi hab pendidikan yang memegang amanah untuk melahirkan generasi baharu yang berwibawa dan mampu menyumbang idea dan tenaga pembangunan negeri khususunya di Sabah.

“Kalau dahulunya, anak-anak tempatan Sabah terpaksa ke Sememanjung untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi tetapi, hari ini kita amat bersyukur kerana dengan dokongan dan sokongan kerajaan pusat dan negeri, kita ada UMS.

“Kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat di negara ini,” katanya.

Mohd. Harun berkata, misi UMS ialah untuk mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu dan mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat. – oleh Monica Gidong / Sabah

Komen


Berita Berkaitan