Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UMS lancar tabung ehsan alumni

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Tabung Ehsan RM1/3/5 Alumni UMS dalam satu Majlis Iftar bersama alumni di Hotel Promenade di sini baru-baru ini.

Pelancaran tabung berkenaan disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah UMS merangkap Penaung Alumni UMS, Datin Hajah Nurlaila Hj Said.

“Tabung Ehsan ini bertujuan mengutip sumbangan dalam kalangan alumni serendah RM1, RM3 atau RM5 setiap bulan untuk mengumpul dana bagi membantu mana-mana alumni UMS di seluruh negara yang menghadapi kesulitan atau kecemasan.

“Tabung Ehsan ini banyak manfaat kepada kalangan alumni UMS sendiri ibarat kata pepatah berat sama di pikul, ringan sama dijinjing,” katanya ketika berucap melancarkan tabung berkenaan.

Datin Hajah Nurlaila yang juga merupakan alumni UMS turut menyeru semua alumni untuk menyumbang sama ada setiap bulan atau setahun sekali.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Ismail Ali dalam ucapannya meminta Kelab Alumni Fakulti UMS atau Pertubuhan Alumni UMS lebih aktif untuk mengadakan majlis sedemikian dan acara-acara lain yang berakaitan bagi memastikan slogan “stay connected” alumni UMS dengan alma mater dapat diterjemahkan.

“Program pada kali ini adalah sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Alumni UMS dan besarlah harapan pihak penganjur agar program seumpama ini dapat dilaksanakan oleh Pertubuhan Alumni UMS pada masa akan datang.

“Sesungguhnya program-program yang dianjurkan oleh Pusat Alumni UMS sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada alumni dan masyarakat serta dapat memupuk semangat perpaduan dalam diri kita,” tambah Prof. Dr. Ismail.

Dalam masa yang sama katanya, para alumni juga dapat menjalin kerjasama serta berkongsi kepakaran dan kemahiran sesama mereka.

Majlis Iftar dan Pelancaran Tabung Ehsan itu mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran seramai 180 alumni UMS.

Hadir sama, Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Hj Awang; Pengerusi Majlis Timbalan Dekan HEPA UMS, Dr. Mohamad Puad Bebit, Ketua Chapter Alumni UMS Pantai Barat Sabah, Dg. Maimunah Hj Sidek, serta Pengerusi-pengerusi Alumni Fakulti dan Wakil Pertubuhan Alumni UMS./SayangSabah


Pelancaran Tabung Ehsan Alumni oleh Datin Hajah Nurlaila (dua kiri) sambil disaksikan Ismail (tepi kiri) dan Darwis (tepi kanan).

Komen


Berita Berkaitan