Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UMS laksana Projek Pengayaan Bahasa Inggeris di SK Bundu Tuhan

skbundutuhan

RANAU: Universiti Malaysia Sabah sentiasa komited dalam menjalankan program jalinan kerjasama universiti-komuniti di luar bandar dalam usaha mencapai objektif meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu dengan berkesan untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Terbaru, satu ‘Projek Pembangunan Objek Pembelajaran Berasaskan ICT Melalui Kaedah Asli untuk Sekolah Rendah Luar Bandar’ dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.

Projek tersebut diketuai pensyarah, Yoon Sook Jhee, dan melibatkan 15 pelajar tahun dua dan tiga daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS yang telah berkampung selama seminggu, bermula 30 Jun lalu di sekolah berkenaan.

Menurut Dekan FPP, Prof. Dr. Ismail Ibrahim, projek tersebut yang ditaja Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Dana Pembudayaan Penyelidikan (RAGS) antara lain bertujuan mengkaji keberkesanan learning object atau objek pembelajaran yang dibina untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

“Penggunaan objek pembelajaran yang berasaskan ICT ini melibatkan pelbagai elemen multimedia seperti animasi, muzik dan grafik. Program ini juga adalah bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid sekolah.

“Saya berharap program ini dapat memberi manfaat kepada murid-murid dan guru-guru SK Bundu Tuhan dalam mempelbagaikan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan projek tersebut. Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Dr. Suyansah Swanto.

Sementara itu, Guru Besar SK Bundu Tuhan, Johnny Ghani menjelaskan program yang dijalankan di sekolah tersebut dilihat berkesan dalam merangsang keinginan murid-murid di sekolahnya untuk mempelajari dan menyukai Bahasa Inggeris.

Katanya, keriangan yang terpancar di wajah murid-murid pra sekolah sehingga pelajar Tahun 3 yang terlibat dalam projek itu jelas menggambarkan betapa mereka selesa untuk dibimbing oleh para pelajar UMS yang sudi mencurahkan ilmu dan pengalaman pengajaran selama seminggu.

“Walaupun sekolah ini agak ketinggalan daripada aspek infrastruktur, namun dalam aspek akademik tidak jauh bezanya dengan sekolah-sekolah lain. Bimbingan seumpama ini mampu meningkatkan lagi tahap akademik murid-murid sekolah ini.

“Kehadiran para pensyarah dan pelajar UMS ke sini juga ternyata memberi inspirasi kepada pihak SK Bundu Tuhan untuk mencapai kecemerlangan berterusan,” jelas Johnny lagi.

Tambah beliau, pihak SK Bundu Tuhan sentiasa sedia bekerjasama untuk menjalankan apa-apa program sama ada dengan UMS atau institusi pendidikan lain demi kecemerlangan pendidikan kanak-kanak di daerah ini.

Komen


Berita Berkaitan