Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,652

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMS Disaran Wujud Aktiviti ‘Bird Watching’, Bina Hotel Dalam Kampus

masidi

KOTA KINABALU : Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mencadangkan agar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewujudkan aktiviti ‘bird watching’ (memerhati burung) di dalam kampus sebagai produk pelancongan di institusi itu.

Beliau berkata aktiviti berkenaan mungkin sesuai diwujudkan di UMS kerana kawasan kampus yang luas dan diliputi dengan pelbagai jenis pokok, bukit-bukau serta keindahan landskap dan pemandangan laut.

“Keadaan ini berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan. Antara produk yang dicadangkan ialah mewujudkan industri berkaitan burung iaitu bird watching seperti yang terdapat di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan UMS-Ecocampus Visitor Information Centre (UMS-EVIC), di sini hari ini. UMS-EVIC merupakan satu pusat maklumat berkaitan UMS untuk manfaat pengunjung termasuk pelancong di dalam dan luar negara.

Masidi berkata dengan adanya produk pelancongan seperti memerhati burung di kampus itu, ia boleh menjana pendapatan untuk UMS.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar UMS membina hotel bertaraf lima bintang di dalam kawasan kampus sebagai satu lagi produk pelancongan selain boleh dijadikan tempat latihan amali pelajar universiti berkenaan.

Masidi berkata pembinaan hotel itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama antara UMS dan pelabur luar memandangkan kawasan untuk pembinaan hotel di Kota Kinabalu kian terhad dan hotel itu boleh disewakan kepada pelancong.

Bagaimanapun beliau berkata untuk menghasilkan produk pelancongan seperti itu memerlukan kreativiti yang tinggi supaya pelancong, walaupun cuma berkunjung ke UMS, turut dapat merasai pengalaman seakan-akan telah berkunjung ke seluruh Sabah.

“Pemandangan matahari terbenam di UMS yang dikategorikan sebagai pemandangan tercantik yang berada pada tangga keenam daripada 10 lokasi di dunia menjadi tarikan kepada pelancong (ke kampus ini)”, katanya.

Masidi berkata usaha memasarkan produk-produk pelancongan yang terbaik di Sabah termasuk yang terdapat di UMS perlu ditekankan dan penubuhan UMS-EVIC itu akan dapat melancarkan lagi usaha-usaha tersebut.

— BERNAMA

masidi2

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan