Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,711

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Umno Tetap Utuh Meskipun Ada Pemimpinnya Tinggalkan Parti – Yahya

10:20am 20/03/2016 Pak Roshan 6 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik

YAHYA

KOTA KINABALU : UMNO tetap kukuh dan berupaya meneruskan agendanya untuk membela bangsa, agama dan negara meskipun ada pemimpin tertinggi atau bekas pemimpin tertingginya keluar meninggalkan parti berkenaan, kata Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Menyingkap sejarah kepimpinan dan perjuangan UMNO pada masa lalu, Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata ada presiden UMNO yang pernah meninggalkan parti kerana tidak sehaluan dengan pendirian parti pada ketika itu namun UMNO tetap kukuh di bawah dokongan ahli-ahlinya.

“UMNO tetap kekal. Ada beberapa presiden dan pemimpin keluar parti tetapi orang UMNO tidak ikut. Sejarahnya begitu. Sebab itu ia digelar parti keramat. Sejarahnya (UMNO) memang begitu. Lihat sahaja bekas perdana menteri, siapa ikut dia?,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan UMNO secara beramai-ramai di sini Ahad.

Sebanyak 140 cawangan UMNO di Bahagian Putatan layak mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing tahun ini.

Menurut Yahya anggota UMNO telah terlatih dan diajar agar mementingkan parti melebihi kepentingan peribadi dan apabila berhadapan dengan sebarang isu dalaman dan perjuangan parti, ahli akan menolak mana-mana pemimpin yang cuba lari daripada landasan perjuangan parti.

“Pemimpin terdahulu mengajar kita untuk taat kepada parti. Kekuatan (pemimpin) itu adalah daripada parti dan bukannya daripada perseorangan. Saya naik jadi pemimpin semuanya kerana parti bukan disebabkan oleh saya sendiri atau orang perseorangan. Ahli yang sokong maka jadilah pemimpin,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Yahya mengulangi pendirian UMNO Putatan yang diumumkannya sebelum ini iaitu menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang turut ditandatangani pemimpin parti pembangkang.

Katanya UMNO Putatan akan tetap teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dipilih anggota UMNO dan rakyat negara ini secara demokrasi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan