Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,798

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Semporna masih wujud

3:07pm 28/06/2016 Pak Roshan 2478 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik
KETUA Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban. - Foto BERNAMA

KETUA Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: UMNO Semporna tidak terjejas dengan tindakan Naib Ketua Bahagiannya, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengumumkan keluar parti bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) dan ketua cawangan di bahagian itu, semalam.

Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban, berkata kedudukan UMNO bahagian itu masih kuat dan berfungsi kerana ramai lagi AJK dan pemimpin serta ketua cawangan setia bersama parti.

Beliau berkata, tanggapan mengatakan UMNO Semporna terbubar berikutan tindakan Jaujan itu tidak betul kerana sebahagian besar ahli dan pemimpin UMNO bahagian berkenaan kekal bersama parti.

“UMNO Semporna masih wujud. Kejadian malam tadi yang mendakwa 300 ketua cawangan dan AJK termasuk dari ketiga-tiga sayap keluar parti adalah tidak betul. Kalaupun ada yang keluar mungkin jumlahnya hanya kira-kira 50 orang.

“Malah ada yang hadir dalam majlis itu terkejut apabila dibuat pengumuman keluar parti kerana mereka hadir sebagai memenuhi undangan majlis berbuka puasa. Hari ini, ramai menyatakan rasa kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan itu,” katanya pada sidang media menjelaskan kedudukan UMNO Semporna, di sini, sebentar tadi.

Malam tadi, Jaujan mengumumkan beliau bersama Ketua Pemuda, Datuk Mohd Aziz Jamman; Ketua Wanita, Manis Muka Dara dan Ketua Puteri, Zakiah Kalipunya serta 300 ketua cawangan bahagian itu keluar parti, susulan penggantungan Naib Presiden yang juga Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Bagaimanapun, Zakiah dalam kenyataannya hari ini menyatakan taat setia beliau dan pergerakan Puteri UMNO Semporna kepada parti.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, berkata soal penggantungan Mohd Shafie daripada UMNO adalah kes lain dan ia tidak wajar dikaitkan dengan UMNO bahagian, selain yakin kedudukan parti itu di Semporna terus kukuh di bawah kepemimpinan baharu.

“Buat masa ini, Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Nasir Sakaran akan memangku jawatan Ketua Bahagian, manakala tindakan terhadap Jaujan dan AJK yang terbabit kita serahkan kepada kepemimpinan UMNO peringkat Pusat dan negeri.

“Memandangkan Jaujan juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, kita serahkan kepada Speaker DUN, Datuk Syed Abas Syed Ali untuk menentukan kedudukannya sama ada bebas atau pembangkang,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Nasir menyangkal dakwaan 300 ketua cawangan keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan penggantungan Mohd Shafie.

Beliau berkata, tindakan itu lebih kepada emosi tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan apa-apa tindakan berkaitan masa depan UMNO Semporna ada baiknya dirujuk kepada Tun Sakaran Dandai, selaku veteran UMNO bahagian berkenaan. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan