Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,650

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Semporna Di Landasan Betul Dalam Perjuangan Parti – Hishammuddin

10:27pm 22/10/2016 Pak Roshan 236 views Mutakhir,Politik

hisham

SEMPORNA : UMNO Bahagian Semporna berada di landasan yang betul dalam perjuangan parti, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menteri Pertahanan itu berkata UMNO menerima hakikat bekas Ketua Bahagian berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal telah memilih jalan lain sesuai dengan prinsip serta pendirian beliau.

Hishammuddin berkata UMNO Bahagian Semporna yang kini diterajui Pemangku Ketua Bahagian Datuk Nasir Tun Sakaran tidak bimbang dengan tindakan Mohd Shafie bersama beberapa pemimpin lain di bahagian itu meninggalkan parti.

“Kita tidak gusar dan tetap membawa perjuangan parti kerana UMNO bukan milik peribadi tetapi diwarisi daripada datuk dan moyang kita.

“Lumrah dalam politik, ada pemimpin datang dan pergi tinggalkan parti. Kita kena sedar perjuangan parti lagi utama daripada kepentingan peribadi,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Semporna di sini, hari ini.

Hampir 5,000 anggota UMNO bahagian berkenaan hadir pada mesyuarat itu. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin dan veteran UMNO Sabah, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah pertama Tun Sakaran Dandai.

Hishammuddin berkata masalah dalam UMNO membabitkan pemimpin keluar daripada parti bukanlah perkara baharu dan pernah berlaku sejak penubuhan parti tersebut.

Beliau berkata segala yang berlaku ada hikmahnya dengan UMNO menghadapi dan mengambil tindakan dalam keadaan matang tanpa perasaan kecewa dan marah.

“Dalam masalah itu kita kena buat pilihan, kawan dan perjuangan…keluarga dan parti…pemimpin dan parti,” katanya.

Beliau berkata semua anggota UMNO perlu kembali kepada asas perjuangan parti untuk mengatasi dan mengawal masalah tersebut bagi meneruskan perjuangan parti.

— BERNAMA

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan