Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Sabah Kuat Dan Kukuh Selepas 25 Tahun Bertapak

10:51am 10/05/2016 Pak Roshan 184 views Mutakhir,Politik

umno-sabah

KOTA KINABALU – Selepas bertapak secara rasmi pada 21 Feb 1991, UMNO Sabah kini berada pada kedudukan kuat dan kukuh dengan keanggotaan mencecah 546,879 orang di seluruh negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran UMNO di Sabah, Musa yang terlibat secara langsung dalam penubuhan parti itu di Sabah 25 tahun lalu, berkata kekuatan UMNO disebabkan dukungan rakyat serta kesepaduan anggotanya yang didasari semangat juang padu.

“Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan… setelah 25 tahun, UMNO Sabah kini berada dalam kedudukan yang kuat dan kukuh. Perlu diingat, kita kuat kerana sokongan rakyat! Kita kukuh kerana kita bersatu! Kita teguh kerana semangat juang kita padu!” kata Musa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah kepada Bernama.

Katanya UMNO Sabah, walaupun dianggap paling bongsu, namun kini selain sebagai komponen negeri terbesar dalam UMNO, ia juga telah menjadi elemen penting dalam batang tubuh UMNO sekaligus menjadi faktor signifikan dalam pembentukan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan.

Mengimbas semula sejarah kemasukan UMNO ke Sabah dan mengapa rakyat Sabah menerima kemasukan parti itu meskipun usaha membawa parti itu ke ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sudah bermula sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Musa berkata UMNO dilihat sebagai bahtera besar dan berkeupayaan menjadi wadah penyatu rakyat Sabah.

Katanya selepas Sabah bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia, gerakan politik kepartian di negeri itu adalah berasaskan kaum masing-masing dan meskipun sudah beberapa dekad berlalu sejak pembentukan Malaysia, keadaan politik di Sabah masih tidak stabil dengan kerajaan negeri silih berganti.

Musa berkata sebahagian besar rakyat Sabah ketika itu, seperti bumiputera Islam, bumiputera bukan-Islam dan kaum Cina bukan sahaja berpecah sehingga mewujudkan ketidakstabilan politik malah keadaan itu merencatkan pembangunan Sabah, sehingga negeri itu jauh ketinggalan berbanding negeri lain termasuk jirannya, Sarawak.

Katanya kerajaan negeri yang dibentuk dan silih berganti ketika itu tidak berupaya membuat perancangan jangka panjang disebabkan fokus lebih terarah kepada kepentingan kaum-kaum yang diwakili di samping suasana ‘politiking’ yang keterlaluan, ditambah lagi dengan hubungan renggang dengan Kerajaan Persekutuan.

Dalam situasi sedemikian, kata Musa, rakyat Sabah akhirnya menyedari bahawa mereka bukan sahaja memerlukan model politik baharu tetapi juga wadah baharu yang boleh menjadi penyatu dan UMNO dilihat sebagai harapan baharu berdasarkan ‘track record’ UMNO di Semenanjung Malaysia.

“Pada masa itu, perubahan ini bukan lagi satu pilihan tetapi adalah satu tuntutan, kerana kita insaf betapa ketidakstabilan dan perpecahan tidak menguntungkan sesiapapun. Kesedaran inilah yang membawa kita melihat UMNO sebagai harapan baharu.

“Harapan untuk UMNO menjadi wahana penyatuan rakyat Sabah, sebagaimana ia berupaya menyatukan sebahagian besar masyarakat Melayu dan diterima oleh kaum-kaum lain melalui perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional dan harapan agar melalui kesatuan rakyat itu, akan wujud kestabilan politik di Sabah dan membuka jalan untuk pembangunan pesat negeri dari semua aspek.

“Kesimpulannya, itulah faktor-faktor yang membawa kita untuk akhirnya memilih UMNO sebagai wadah perjuangan. UMNO tidak datang dengan sendirinya. UMNO tidak datang untuk menjajah. UMNO tidak datang untuk merampas hak rakyat Sabah. UMNO hadir atas kehendak kita. UMNO lahir atas pilihan kita,” tegas Musa.

Musa juga tidak melupakan pengorbanan pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) terutama Tun Datu Mustapha Datu Harun dan pemimpin-pemimpin parti negeri yang lain serta bekas Timbalan Presiden UMNO allahyarham Tun Ghafar Baba atas perjuangan gigih mereka dalam menjayakan kemasukan UMNO ke Sabah.

Katanya Tun Mustapha yang merupakan Bapa Kemerdekaan Sabah amat berjasa besar kerana sanggup membubarkan USNO yang diterajuinya ketika itu dan bersama anggota dan pemimpin parti itu, termasuk beliau sendiri (Musa), berhijrah menyertai bahtera besar UMNO.

“Tun Datu Mustapha adalah contoh teladan pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan perjuangan melebihi kepentingan peribadi. Tokoh pejuang tulen ini sanggup membubarkan parti yang beliau sendiri asaskan atas kepentingan agenda perjuangan yang lebih besar,” kata Musa.

Mengenai masa depan UMNO agar terus kukuh dan relevan, Musa menegaskan bahawa UMNO tidak boleh bergantung kepada jumlah kuantiti anggotanya semata-mata bahkan sama penting adalah nilai dan kualiti setiap anggota-anggota UMNO di semua peringkat – cawangan, bahagian dan sayap-sayap parti.

Musa juga mengingatkan kepimpinan dan anggota parti agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan parti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Hala tuju kita perlu berpaksikan kepada landasan yang tepat iaitu gerak kerja yang berpaksikan kepentingan rakyat. Destinasi kita adalah rakyat kerana kekuatan dan prestasi kita akhirnya ditentukan dan dinilai melalui tahap sokongan rakyat dalam pilihan raya. Jangan lari daripada landasan,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan