Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UMNO Sabah Beri ‘Hadiah Istimewa’ Kepada Najib

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. – Foto fail NSTP/Mohd Azren Jamaludin

 

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah akan memberi ‘hadiah’ paling istimewa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang dengan memastikan negeri di bawah bayu itu kekal menjadi simpanan tetap bagi Barisan Nasional (BN).

Bendahari UMNO yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ia sebagai satu manifestasi ke atas rasa syukur jutaan rakyat di negeri itu yang ditaburkan dengan pelbagai bantuan serta pembangunan sejak UMNO bertapak di Sabah kira-kira 24 tahun yang lepas.

“Bagi saya Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan kerjasama semua pihak bukan sahaja mampu mengekalkan kawasan yang kita menangi tapi juga merampas kawasan-kawasan yang kalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan perwakilan UMNO Sabah sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, dalam perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib turut menyentuh mengenai kepentingan Sabah dan Sarawak selain menyatakan bahawa kerajaan persekutuan akan tetap menjayakan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kedua-dua negeri itu.

Sehubungan itu, Salleh berkata apa yang paling penting sekarang ialah semua anggota dan jentera UMNO perlu bersatu padu dan menangkis usaha pihak tertentu yang sudah berpaling tadah daripada parti itu.

“Ini kerana mereka (individu yang berpaling tadah daripada parti) hanya membawa perasaan semata-mata, tujuan mereka bukan untuk membawa pembangunan di Sabah kerana hanya UMNO dan BN yang mampu membawa tugas itu.

“Malah dalam ucapannya perdana menteri turut berkata bahawa hanya BN yang mampu menyatupadukan rakyat dan membawa negara ke arah era yang lebih gemilang,” katanya.

Sementara itu, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata tugas untuk memerangi fitnah terhadap parti di laman sosial tidak hanya terletak pada pihak tertentu sahaja sebaliknya perlu digalas bersama oleh setiap anggota UMNO.

“Anggota UMNO harus bertanggungjawab memerangi fitnah atau berita palsu kerana setiap daripada kita ada gazet masing-masing dan kita perlu gunakan ia untuk melawan fitnah-fitnah ini,” katanya.

Katanya memang ada undang-undang tertentu yang boleh diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial dan sekiranya ada yang merasa teraniaya, mereka bertanggungjawab membuat laporan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan