Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,686

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Sabah belum terima surat keluar parti Jaujan

11:22am 30/06/2016 Pak Roshan 471 views Mutakhir,Politik
jaujan

Naib Ketua UMNO Bahagian Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong

PUTATAN: Badan Perhubungan UMNO Sabah belum menerima borang keluar parti Naib Ketua UMNO Semporna, Datuk Jaujan Sambakong dan beberapa ketua cawangan bahagian itu berikutan pengumuman keluar parti, Isnin lalu.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata pihaknya hanya mengetahui tindakan pemimpin terbabit menerusi berita yang disebarkan sejak Isnin lalu dan tidak dimaklumkan secara rasmi.

“Kita hanya mendengar tindakan mereka keluar parti. Surat berkaitan perkara itu belum diterima,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kuih Aidilfitri kepada pasukan keselamatan di sini, sebentar tadi.

Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, sebelum ini mengumumkan keluar parti bersama Ketua Pemuda, Datuk Mohd Aziz Jamman; Ketua Wanita, Manis Muka Dara dan Ketua Puteri, Zakiah Kalipunya serta 300 ketua cawangan bahagian itu keluar parti.

Tindakan itu adalah susulan penggantungan keahlian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, Zakiah dalam kenyataan selepas itu menyatakan taat setianya dan pergerakan Puteri UMNO Semporna terhadap parti manakala ADUN Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban, menjelaskan kedudukan UMNO Semporna tidak terjejas dengan tindakan itu.

Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata ahli UMNO tidak sepatutnya mengambil tindakan melulu seperti itu, sebaliknya bertenang dan menyerahkan isu disiplin membabitkan pemimpin kepada kepemimpinan tertinggi parti.

“Jangan ambil tindakan bertentangan dengan kehendak parti. Kita perlu akur kepada pemimpin dan beri kepercayaan kepada Presiden serta Majlis Tertinggi untuk mengurus tadbir parti.

“Bila mereka ambil tindakan disiplin, kita sokong untuk memastikan perjalanan parti tidak dikotori atau disalah guna. Kita kena ikut undang-undang dan peraturan parti,” katanya.

Terdahulu, Yahya yang juga Ketua UMNO Putatan, berkata rakyat daerah ini menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam tanpa mengira masa.

“Sebagai tanda penghargaan kepada mereka, kita sumbangkan sedikit kuih untuk juadah menyambut Aidilfitri minggu depan,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan