Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

UMNO Penampang mahu ahlinya dicalonkan pada PRU 14

umno penampang

KOTA KINABALU 2 Sept. – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Penampang mencadangkan satu calon wakil rakyat di Parlimen Penampang dipilih dari kalangan ahli UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang.

Ketuanya, Dayang Sarinah Mohd Yassin berkata, ahli UMNO khususnya dari bahagian Penampang, mempunyai kelayakan dan kredibiliti untuk dicalonkan, sekaligus memenangi pilihan raya tersebut untuk meningkatkan majoriti Barisan Nasional (BN).

“Pada PRU-13 lalu, semua calon daripada BN kalah. Kami tidak mendabik dada atau ego tidak bertempat, tetapi Puteri Umno yakin calon yang dipilih daripada UMNO Bahagian Penampang mampu mencetus angin perubahan dan membuat anjakan paradigma untuk membangunkan Parlimen kawasan Penampang dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sempena perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Penampang di sini semalam.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dayang Sarinah juga mencadangkan agar seorang senator dilantik dari kalangan UMNO Penampang.

Jelasnya, ramai ahli UMNO Penampang berupaya menjadi ahli Dewan Negara dan mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat di daerah itu dan juga menyumbang ke arah pembangunan dan kebajikan ahli Umno bahagian berkenaan.

Dayang Sarinah turut mengingatkan semua ahli Puteri Umno supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang suka memburukkan usaha murni kerajaan dengan pelbagai tohmahan dan kenyataan mengelirukan.

“Suatu yang perlu diiingatkan semua ialah kekuatan parti di peringkat bahagian, negeri dan pusat bergantung kepada kekuatan ahli-ahli di peringkat cawangan itu sendiri sebagai akar, tapak dan tunjang kepada Umno.

“Justeru, saya ingin mengajak semua ahli Puteri UMNO supaya terus memastikan gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan aktiviti parti di peringkat cawangan terus dipertingkatkan melalui kerjasama baik dengan peringkat bahagian bagi memastikan Umno terus dapat menarik sokongan rakyat sehingga bila-bila,” ujarnya.

Beliau juga berkata peranan Puteri UMNO perlu terus diperkasakan sebagai agen pembangunan dan kemajuan masyarakat dengan mengadakan pelbagai program khususnya berkaitan teknologi maklumat, ekonomi, sosial dan aspek pemantapan sahsiah diri remaja.

Di samping itu, beliau berharap sayap Umno itu terus bergiat aktif meningkatkan keahlian Puteri dari kalangan remaja dan beliawanis berumur antara 18 hingga 35 tahun.

“Kita juga jangan lupa bukan kita sahaja yang berusaha untuk mendekati golongan remaja ini kerana parti-parti pembangkang juga mempunyai strategi yang sama memandangkan mereka ini akan memiliki ‘lesen’ untuk memangkah undi dalam tempoh empat atau tiga tahun sahaja lagi,” tambahnya.

Komen


Berita Berkaitan