Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Umno, Parti Komponen BN Sabah Perlu Terus Bersatu Hadapi Cabaran

6:32pm 20/08/2016 Pak Roshan 118 views Mutakhir,Politik

ismail-sabri-600x385

RANAU : Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UMNO serta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah perlu terus bersatu serta memperkukuhkan lagi hubungan bagi menghadapi cabaran politik semasa termasuk kemunculan parti baharu pada masa ini.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan kerajaan Sabah terus dipimpin oleh kerajaan BN yang sentiasa membela rakyat, khususnya golongan Bumiputera di negeri ini.

“Selain itu, semua parti komponen BN khususnya UMNO perlu berusaha memperkukuhkan parti, berjuang bersama-sama dan elakkan perpecahan yang hanya akan menguntungkan pembangkang.

“Kita perlu bersatu dan menyokong barisan kepimpinan parti bagi memastikan parti terus kuat dan kukuh dalam menghadapi serangan pihak yang ingin memecahbelahkan UMNO ketika ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ranau, di sini Sabtu.

Beliau berkata kemunculan parti baharu dari kalangan pemimpin Bumiputera dan Melayu pada masa ini merupakan cabaran baharu yang perlu diatasi oleh UMNO.

“Kita lihat penubuhan parti-parti pembangkang baharu Melayu dan Bumiputera itu hanya akan memberi keuntungan kepada DAP. Perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera hingga penubuhan parti baharu adalah satu agenda dirancang pihak tertentu.

“DAP sentiasa mengukuhkan kedudukan mereka selain mempergunakan parti-parti baharu Melayu ini untuk memecahkan undi UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Ismail Sabri berkata DAP tahu rakyat tidak akan menerima pemerintahan mereka menggantikan kerajaan yang ada, namun DAP memerlukan proksi untuk melaksanakan agenda memerintah negara ini.

“Jika DAP menjadi tonggak dalam kerajaan, maka masa depan bangsa dan negara akan hancur,” tegas beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan beberapa projek pembangunan di Ranau dengan nilai kira-kira RM350 juta yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Antara projek besar itu ialah pembinaan jajaran jalan Tarawas-Kaingaran dan naik taraf lampu jalan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, mesyuarat perwakilan UMNO Ranau itu sebulat suara meluluskan usul menyokong kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Ranau Datuk Seri Masidi Manjun meminta semua anggota UMNO di bahagian itu terus setia dan sentiasa mempertahankan pendirian serta perjuangan parti.

“Kita perlu sama-sama membidas pihak yang cuba memburukkan UMNO di kawasan masing-masing. Kita perlu berani berjuang demi kelangsungan parti bagi memastikan UMNO terus menang di Ranau.

“Selain itu, jangan kita sesekali percaya dengan tipu helah yang dilontarkan pihak tertentu yang mahu memecahbelahkan parti. Kalau sayang parti, kita perlu ikhlas berjuang berlandaskan pendirian UMNO,” katanya.

Masidi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Karanaan berkata semua anggota parti di bahagian itu perlu sedar bahawa UMNO adalah platform terbaik yang memperjuangkan nasib rakyat kerana ia adalah tulang belakang kerajaan BN yang memerintah.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan