Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,769

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Mampu Harungi Krisis Dalaman Parti – Hishammuddin

11:08am 25/11/2015 Pak Roshan 24 views Mutakhir,Politik
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media selepas merasmikan penutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. - Foto BERNAMA

Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika sidang media selepas merasmikan penutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu mengharungi krisis yang dihadapi ketika ini melalui cara penyelesaian terbaik bagi membawa kelangsungan parti itu.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata sejarah membuktikan parti itu diuji pelbagai kemelut, namun berjaya menghadapinya dengan semangat bersatu-padu dalam kalangan anggotanya.

“Krisis adalah proses yang mendewasakan kerana ia mengajar di sebalik pengalaman dan segala kekuatan, kita pasti jauh daripada kesempurnaan dan kita juga punya kelemahan terutama dalam usia kita semakin menua, kesilapan tidak boleh dielakkan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau berkata banyak perkara perlu diteliti bagi mengekalkan kedudukan parti itu termasuk usaha mengembalikan keyakinan rakyat terutama generasi muda yang kini tidak memahami sentimen kewujudan UMNO.

“Sejujurnya saya tidak ada sifir untuk masalah ini, kita yang perlu cipta rumusan, kitalah penyelesaian semua ini, maju untuk semua pihak mencari jalan penyelesaian, lupakan sebentar perbezaan, rumuskan agenda UMNO yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Kerja Tertinggi UMNO memberi jaminan bahawa usul-usul yang penting akan diangkat semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada bulan depan.

“Saya juga memberi jaminan bahawa setiap intipati perbahasan usul itu akan mendapat perhatian di peringkat tertinggi parti,” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, beliau berkata pihaknya menerima sebanyak 768 usul daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, dan antara usul yang dijangka mendominasi perbahasan ialah kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian agama Islam.

Mengenai konvensyen itu, kata beliau penganjurannya amat bertepatan kerana ia membolehkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, agama, perniagaan dan belia berkongsi idea.

“Konvenyen itu merupakan suatu gerakan yang boleh menginsafkan dan menyedarkan bukan sahaja ahli parti tetapi pemimpin parti dan setiap lapisan masyarakat di luar betapa pentingnya kita mengembleng untuk melihat masa depan umat Melayu khususnya,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2014 akan bermula dari 8 hingga 13 Dis ini. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan