Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,823

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

UMNO Hulur Silaturahim Kepada PAS – Najib

1:36pm 10/12/2015 Pak Roshan 47 views Mutakhir,Politik

PM-NAJIB2

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Najib, yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan pembangkangnya.

“Maka saudara dan saudari…kita di dalam Umno, berasa lega, malah gembira, pabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.

“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Walaupun Umno mendambakan perpaduan ummah namun Najib menegaskan, apa yang paling utama dan paling mustahak adalah untuk menyokong kesatuan serta solidariti dalam Umno itu sendiri terlebih dahulu.

Pertelingkahan secara terbuka di antara PAS dengan rakan-rakan PR terutamanya DAP berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya di negeri-negeri diperintah pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Hubungan PAS dengan rakannya dalam PR semakin meruncing berikutan penubuhan parti Amanah yang diterajui bekas-bekas pemimpin parti itu yang mendapat sokongan kuat DAP.

Baru-baru ini, PAS mengisytiharkan parti itu sebagai parti pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan negeri itu yang dipimpin DAP memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan anggota PAS.

Sementara itu, menyentuh kepada kenyataan individu tertentu yang mahukan negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan ia tidak akan berlaku dan Umno tidak akan menerimanya.

“Mana boleh…Mana boleh perkara ini kita terima,” katanya dan menambah, Umno tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham pengertian demokrasi tetapi “seruan tidak bijaksana” itu berbahaya.

Najib berkata orang Melayu dan anggota Umno perlu berjaga-jaga dan berwaspada dengan seruan terhadap dua sistem parti itu dan “jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.”

Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno atau satu lagi yang didominasi oleh DAP, tegas Najib.

“Maksud saya, seandai dan sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang antiperjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.

“Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah,” kata beliau.

Menjadikan DAP sebagai sasaran dalam ucapannya itu, Presiden Umno itu berkata, parti itu tidak pernah setia dengan rakan-rakan gabungannya dan kini cuba “menguasai” parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Menurut Najib, di Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti Dr Norlela Ariffin telah menangis “teresak-esak dan tersedu-sedan” mengenangkan nasib pengundi terutamanya orang Melayu yang tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Perkara sedemikian tidak pernah terjadi dalam sejarah Barisan Nasional (BN), katanya.

“Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? Tepuk dada, tanyalah selera,” kata Najib.

Presiden Umno itu berkata tindak-tanduk DAP itu turut dapat dilihat di Selangor apabila pemimpin-pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PAS sebelum ini.

Najib berkata, keangkuhan DAP juga terserlah di Sarawak, di mana parti itu memutuskan hubungan dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya kerana ingin bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri itu.

Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995.

Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi,” kata Najib.

DAP, menurutnya, cuba lagi berpakat pada 2008 dan 2013 dengan PAS serta PKR.

“Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh talak.

Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan, tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti,” kata Presiden Umno itu.

Puak-puak DAP itu, kata Najib, tidak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka dan meminta rakyat supaya berfikir serta merenungkan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini.

“Nak berpakat pun payah, jadi macam mana nak perintah negara,” kata beliau. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan