Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Umat islam harus menghayati amalan beragama

 Yahya bersalam dengan Ir.Shahelmey Yahya di majlis itu.

Yahya bersalam dengan Ir.Shahelmey Yahya di majlis itu.

PUTATAN: Umat Islam hendaklah menghayati amalan beragama yang sebenar dalam menghadapi proses globalisasi, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya, ini kerana Islam menolak sebarang konsep globalisasi yang bertujuan mahu memperluaskan budaya tertentu ke atas negara lain, termasuklah perkara yang bercanggah dengan sistem pembelajaran dan akidah Islam.

“Ini kerana kita tidak dapat menerima konsep globalisasi yang bertujuan memaksa untuk mengikut mana-mana pengajaran yang bercanggah dengan agama, nilai dan adabnya”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Pantai Barat Selatan di Dewan Sri Putatan, semalam.

Turut hadir ialah isteri Yahya, Datin Seri Panglima Hajah Siti Jouyah Md.Yunin, Pegawai Daerah Putatan, Awang Abd.Ghani Pg.Yusoff, Ketua Daerah Putatan, Haji Mohd.Yunus Ismail, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Ir.Shahelmey Yahya, Ketua Puteri UMNO Bahagian Putatan, Dahliah Mohd.Zain.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, pihak-pihak yang tidak senang terhadap Islam sering menggunakan kaedah serangan budaya dengan menyelitkan pelbagai budaya songsang terhadap pemikiran umat Islam, khususnya golongan muda.

Justeru katanya, dalam membangunkan modal insan yang bebas daripada anarki bersifat rohani ini, maka kekuatan akidah serta akhlak berlandaskan rohaniah Islamiah menjadi senjata yang paling ampuh.

“Semua ini menjadi satu cabaran kepada umat Islam terutamanya pada era globalisasi dalam mempertahankan amalan beragama (tadayyun) dan membina semula tamadun berasaskan pemikiran agama Islam”, tambahnya.

Katanya, Al-Quran merupakan sumber ilmu pengetahuan fizikal yang amat penting kerana disamping susunan surah ilmu tersirat serta sirih-sirihnya merupakan sumber metodologi pemikiran yang harus dikuasai oleh umat Islam.

Menurutnya, Al-Quran tidak hanya dilihat dalam aspek penghafalan dan pembacaan untuk ibadah khusus sahaja, tetapi lebih penting ialah pemikiran umat Islam dalam melihat dunia dan akhirat harus dibentuk daripada corak serta struktur ilmu-ilmu yang telah disusun secara sistematik di dalam al-Quran itu sendiri.

Yahya berkata, langkah menjadikan pengajian al-Quran sebagai sebahagian daripada kurikulum di sekolah adalah bukti keprihatinan kerajaan yang mahu melihat umat Islam di negara ini berjiwa besar, terus maju dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di peringkat global.

“Ini kerana tiada ertinya negara menjadi maju tetapi umat Islamnya masih lagi ketinggalan.

“Justeru, untuk menjadi bangsa bermaruah menjelang tahun 2020, umat Islam di negeri ini mesti memperkasakan diri dengan kekuatan ekonomi dan menguasai pelbagai bidang ilmu terutama sains dan teknologi supaya dapat bergerak seiring dengan kemajuan dunia”, tegasnya.-Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan