Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ujian Lesen Memandu Diselia Secara ICT Tahun Depan Elak ‘Kaw Tim’

smemandu

PUTRAJAYA:  Ujian untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan akan dikawal selia secara teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mulai April tahun hadapan bagi mengelak penyelewengan dalam memperoleh lesen.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sistem itu sedang dibangunkan, sekali gus akan menambah baik sistem pengujian sedia ada yang diperkenal di institut memandu.

Kini ujian berkomputer hanya digunakan untuk ujian undang-undang bahagian satu, manakala bahagian dua dan tiga iaitu ujian mendaki bukit, memparkir kenderaan serta memandu di atas jalan raya diselia oleh pegawai JPJ sepenuhnya.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata melalui sistem ICT, pegawai JPJ hanya memainkan 40 peratus peranan untuk menentukan sama ada seseorang calon itu gagal atau lulus manakala 60 peratus lagi ditentukan menerusi sistem berkenaan.

“Apabila sistem itu sendiri yang menentukan sama ada calon itu berjaya atau gagal, kita jangka unsur penyelewengan tidak mudah berlaku berbanding menggunakan tenaga kerja manusia yang mungkin mempunyai unsur ‘kaw tim’ (bertolak ansur) dan sebagainya,” katanya.

Ismail diminta mengulas laporan mengenai terdapat kegiatan pengeluaran lesen motosikal, motosikal berkuasa tinggi atau kereta secara ‘gerenti lulus’ hasil kaw tim antara tenaga pengajar sekolah memandu dan anggota JPJ.

Menurutnya JPJ memandang serius dakwaan itu dan memohon kerjasama pihak yang terlibat termasuk orang awam bagi memudahkan pihaknya melakukan siasatan.

Beliau berkata pegawai JPJ yang terlibat boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sementara bagi institusi memandu, permit operasi dan sijil tenaga pengajar mereka boleh digantung atau dibatalkan.

“Saya mahu pelanggan atau ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab kerana untuk mendapatkan lesen kenderaan, ia memerlukan proses pembelajaran dan saluran yang betul supaya melahirkan golongan pemandu yang kompeten.

“Situasi gerenti lulus tidak akan berlaku sekiranya tiada pemberi dan penerima sogokan,” katanya.

Sementara itu Ismail berkata JPJ akan memperkenalkan sukatan baharu Kurikulum Pemandu Berteraskan Hasil Pembelajaran mulai Ogos ini bagi meningkatkan kemahiran pemanduan dan kesedaran keselamatan jalan raya.

Komen


Berita Berkaitan