Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ugut, tikam, samun

 

gambar hiasan

TAWAU: Polis giat memburu tiga lelaki dipercayai suspek samun dua pelajar di kawasan Jalan Persisiran, dekat sini, Selasa lalu, hingga menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pengadu yang juga pelajar perempuan berusia 17 tahun yang baru selesai menduduki kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) duduk bersama rakan lelakinya berumur 16 tahun di kawasan berkenaan.

Mereka kemudian didatangi tiga lelaki dengan seorang daripadanya bertanya kepada pelajar lelaki terbabit sama ada mempunyai kredit telefon, manakala dua lagi suspek masing-masing duduk sebelah mangsa dan pengadu.

Suspek pertama kemudian mengeluarkan pisau dan mengugut kedua-dua pelajar supaya menyerahkan telefon bimbit masing-masing sebelum menikam belakang pelajar lelaki.

Akibat tikaman itu, mangsa menyerahkan telefon bimbit sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri.

Difahamkan, mangsa masih dirawat di Hospital Tawau dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata tiga suspek berkenaan dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an, berkulit gelap dan masing-masing mempunyai ketinggian antara 170 hingga 175 sentimeter.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan, selain lokasi kejadian agak jauh daripada kawasan orang ramai.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil memberi keterangan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Amir Abu atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-772 121 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan